Malaysia Berita

TFC fokus pungut tiga mata penuh

Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mahu anak buahnya bangkit setelah tewas di tangan Kedah pada aksi penuh dramatik di halaman sendiri minggu lalu.

Pasukannya bakal turun menentang PKNS FC pada aksi terakhir peringkat Kumpulan A malam ini di Stadium Shah Alam.

Justeru bagi beliau, kemenangan ke atas PKNS amat ditagih biarpun bakal beraksi di halaman lawan.

“Saya lihat pemain kian bersemangat dan fokus ketika sesi latihan untuk kembali bangkit mencatat kemenangan, situasi ini sudah pasti melegakan kami dalam misi wajib menang bertemu skuad PKNS FC,” kata Nafuzi.

Bagi penyerang import TFC, Kipre Tchetche percaya pasukannya mampu untuk menyerap tekanan berdepan skuad Semut Merah malam ini.

Untuk rekod, PKNS FC sudah tersingkir daripada saingan Liga Malaysia dan sudah gagal melayakkan diri ke suku akhir.

“Rekod perlawanan sebelum ini menyaksikan TFC sering mengatasi PKNS FC, tapi ia bukan pengukur bagi menentukan kemenangan menjelang pertemuan penting itu,” kata Tchetche.