Kolum

Lima lagu semarak sorakan buat Harimau Malaya

Seni dan sukan itu sangat berkait rapat. Contohnya, muzik yang dimainkan sempena acara sukan. Ianya secara umum mampu untuk mengalirkan semangat kepada para atlet yang terlibat.

Menjelang pertembungan Harimau Malaya menentang Emiriah Arab Bersatu pada malam ini, dilampirkan di sini lima lagu yang bakal menyemarakkan semangat kepada para pemain skuad kebangsaan.

 

1.Fikirkan Boleh (Metropolitan) 1990

Lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan Metropolitan ini pernah menjadi siulan anak muda satu ketika dahulu apabila bekas pemain badminton negara, Hafiz Hashim merangkul kejuaraan seluruh England pada tahun 2003. Jika masih ingat, ketika itu merupakan zaman kegemilangan sukan badminton Malaysia. Apa yang penting, bait lirik lagu ini sememangnya ada magis tersendiri yang boleh melonjakkan aura positif buat atlet negara.

 

2. Standing In The Eyes of The World (Ella) 1998

Lagu yang ditulis oleh David Gates, Habsah Hassan, dan Wah Abdul Hamid Idris ini menjadi lagu tema Sukan Komanwel 1998 dimana Kuala Lumpur telah dipilih untuk menjadi tuan rumah. Seperti biasa, lirik lagu yang penuh kehayatan apabila dinyanyikan oleh penyanyi wanita rock legenda negara, Ella itu mampu menyuntik tenaga luar biasa buat para pendengar. Oleh yang demikian, pemilihan lagu ini sementara menunggu sepak bola bermula malam ini merupakan satu pilihan yang tepat.

 

3. Selamanya Harimau Malaya (Altimet, Joe Flizzow, dan Carleed Khaza)

Peminat bola sepak pasti mengingati momen indah yang terpahat pada 2010 dan 2011 dimana kedua-dua skuad senior dan muda negara berjaya mengecapi kejayaan. Pada 2010, Harimau Malaya mengaum setelah berjaya merangkul kejuaraan di Kejohanan Piala AFF Suzuki dengan kelibat Safee Sali ketika di puncak prestasi. Manakala pada 2011, skuad Harimau Muda berjaya membawa pulang pingat emas pada Temasya Sukan SEA yang menyaksikan kemunculan bintang muda negara, Nazmi Faiz. Lagu ini begitu sinonim dengan kedua-dua momen bersejarah buat bola sepak negara.

 

 

4. Negaraku (Faizal Tahir, Joe Flizzow, Sona One, dan Altimet) 2016

Lagu patriotik versi moden yang dinyanyikan oleh beberapa penyanyi terkemuka tanah air. Jika diamati secara mendalam, lirik lagu ini mampu menaikkan semangat juang bukan sahaja pada pemain tetapi juga penyokong. Tajuk lagu itu sendiri sudah cukup untuk menggambarkan betapa lagu ini bersifat nasional.

 

5. Rumah Kita (Hujan) 2012

Lagu popular daripada kumpulan rock indie, Hujan. Bertepatan dengan perlawanan malam ini yang mana Malaysia menjadi tuan rumah, Rumah Kita dilihat begitu sesuai untuk didengari. Lirik lagu ini seolah-olah menembak peluru semangat buat pemain diatas padang.

Semoga skuad bimbingan Tan Cheng Hoe mampu meneruskan kecemerlangan dengan menghadiahkan tiga mata malam ini.