Kajian & Analisis

Malaysia menang tapi masih banyak perlu diperbaiki

Stadium Gelora Bung Karno menjadi saksi kebangkitan skuad Harimau Malaya yang menumbangkan Sang Garuda dengan jaringan 3-2. Barisan skuad kebangsaan dilihat sedikit pun tidak gentar walaupun beraksi dihadapan ribuan penyokong pasukan tuan rumah yang memenuhi setiap ruang di stadium. Matlamat utama untuk mengutip tiga mata penuh pada perlawanan pembukaan kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022 berjaya direalisasikan. Namun, masih ada ruang yang perlu diperbaiki demi menjamin tempat ke peringkat seterusnya.

 

Jurulatih pasukan Malaysia, Tan Cheng Hoe mempertaruhkan skuad yang diketuai penjaga gol,Farizal Marlias, dengan menurunkan pemain-pemain utama seperti Safawi Rasid, Norshahrul Idlan Talaha, dan Syafiq Ahmad. Pemain naturalisasi Harimau Malaya, Mahamadou Sumareh diletakkan di bangku simpanan sebelum dimasukkan pada minit ke-37 untuk menggantikan Hadin Azman.

Benteng pertahanan yang diterajui Adam Nor Azlin dan Shahrul Saad dilihat agak rapuh seawal minit ke-12 apabila Beto Goncalves mudah menewaskan Farizal selepas mendapat umpanan Saddil Ramdani. Malaysia agak kurang kreatif dalam menghasilkan peluang jaringan pada babak pertama sehinggalah kemasukan Mahamadou Sumareh yang segera memberi impak sejurus masuk menggantikan Hadin Azman dengan jaringan mudah menewaskan penjaga gol tuan rumah, Andritany Ardhiyasa setelah menerima umpanan Azam Nor Azih.

Indonesia hanya mengambil masa dua minit untuk kembali di depan apabila rembatan kaki kanan Beto Goncalves berjaya menerjah jaring. Sekali lagi kesilapan benteng pertahanan yang membiarkan penyerang naturalisasi Indonesia untuk membuat percubaan tepat kearah gol. Pada separuh masa pertama, kepincangan pertahanan ternyata memakan diri. Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan memberi peluang barisan serangan Garuda untuk terus memberi tekanan.

Anak buah Tan Cheng Hoe lebih menguasai permainan pada separuh masa kedua dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-66 menerusi tandukan kemas Syafiq Ahmad yang menyambut hantaran silang rakan sepasukan, Safawi Rasid. Serangan bertali arus dilancarkan dengan kemasukan Akhyar Rashid yang menggantikan Norshahrul Idlan Talaha. Para pemain Malaysia lebih tenang dengan hantaran pendek di tengah padang yang dikemudi Nor Azam Azih dan Brendan Gan. Kedua-dua pemain merupakan enjin utama pasukan dan mereka bijak mengawal tempo permainan serta tenang dalam membuat hantaran.

Barisan serangan Harimau Malaya perlu memperbaiki penyudah dihadapan gol. Malaysia mampu untuk mendapat jaringan gol kemenangan lebih awal tetapi ketumpulan penyudah pemain Malaysia di hadapan gol menyebabkan mereka perlu menunggu sehingga minit ke-97 untuk mendapatkan jaringan kemenangan melalui satu penyudah mudah daripada Mahamadou Sumareh selepas hantaran lintang Matthew Davies gagal dibaca oleh pertahanan lawan. Tidak dapat dinafikan bahawa skuad negara sebenarnya mampu untuk menang selesa tetapi tuah tidak menyebelahi kita. Namun yang demikian, kita perlu bersyukur walaupun hanya memperoleh kemenangan tipis.

Harimau Malaya mengungguli carta kumpulan G selepas memperolehi kemenangan epik di Jakarta. Skuad Malaysia perlu diberi pujian atas semangat juang luar biasa para pemain diatas padang. kebangsaan. Namun, para pemain perlu ingat bahawa lawan Malaysia dalam kumpulan G adalah pasukan gergasi asia. Pada peringkat kumpulan sebegini, jaringan gol yang banyak akan memberi kelebihan buat pasukan.

 

Tan Cheng Hoe perlu menurunkan pemain terbaik yang kita miliki bagi menghadapi pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada selasa depan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Beberapa pemain seperti Matthew Davies, Brendan Gan, Nor Azam Azih, Mahamadou Sumareh, dan Syafiq Ahmad mempamerkan persembahan berkualiti pada malam tadi. Semoga pemain kita mampu mengekalkan momentum kemenangan menjelang perlawanan kedua yang dijadualkan pada selasa hadapan.