Bola sepak tidak akan terlepas daripada soal budaya dan politik apabila dua jiran – Indonesia vs Malaysia – bakal bertemu di Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, malam esok.
Sebagai negara yang banyak berkongsi budaya dan cara hidup, Garuda dan Harimau Malaya bakal mencatatkan pertemuan ke 96 sejak kali pertama bertemu pada 1957.
Menurut pengkritik bola sepak Indonesia, M Kusnaeni, pertemuan kedua-dua negara ini melambangkan hubungan ‘benci tapi rindu’.
Pertembungan ini pastinya akan menjanjikan aksi yang sengit seperti pertembungan kelab-kelab besar Eropah dan sudah pastinya ia bukan sahaja melibatkan keringat tetapi juga emosi untuk menumpaskan lawan masing-masing.
Sejarah telah mencatatkan bagaimana pertembungan Indonesia dan Malaysia tidak hanya melibatkan bola sepak, tetapi juga pertembungan sosial dan budaya yang hampir mencacatkan hubungan kedua negara.
Slogan ‘Ganyang Malaysia’ yang pertama kali diucapkan Soekarno pada tahun 1964 masih sebati sehingga kini dan sering kali menjadi sorakan buat penyokong Indonesia ketika dua negara ini bertemu.
Bagi skuad Malaysia pula, untuk bertandang ke Gelora Bung Karno adalah misi gila yang bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal tetapi juga emosi.
2010 pernah menceritakan bagaimana pahitnya untuk turun ke stadium keramat tersebut apabila skuad negara dipaksa untuk menaiki Barracuda ketika aksi akhir Piala AFF menentang Indonesia.
Biarpun berjaya memenangi kejohanan tersebut dengan keputusan agregat 4-2, skuad negara tidak mendapat layanan istimewa selaku juara malah terpaksa menghadapi kemarahan penyokong Indonesia.
Untuk rekod, itu bukanlah kali pertama skuad negara menaiki Barracuda, Sukan SEA 2011 juga pernah mencatatkan kejadian yang sama ketika skuad negara bawah-23 berada di bawah kendalian Ong Kim Swee.