
Luka Jovic dilaporkan bakal dilepaskan oleh Real Madrid secara pinjaman selepas hanya dua bulan membuat perpindahan £ 62 juta ke Sepanyol.
Bekas penyerang Eintracht Frankurt berjaya memberi aksi terbaik sewaktu di dalam kancah Bundesliga dan Liga Europa yang menarik Madrid untuk mendapatkan khidmat beliau.
Walau bagaimanapun, laporan daripada media Sepanyol menyatakan bahawa Zidane tidak berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Jovic sepanjang aksi pra musim skuad Los Blancos.
Luka Jovic adalah salah seorang pemain yang dibeli oleh Los Blancos bagi memantapkan pasukan selepas musim 2018/19 yang mengecewakan – Real Madrid memecat dua jurulatih dalam satu musim dan digantikan dengan Zidane.
Selain daripada beliau, Eden Hazard, Eder Militao, Ferland Mendy dan Rodrygo masing-masing membuat perpindahan masuk ke Real Madrid.
Zidane semestinya lebih meminati Karim Benzema untuk mengetuai bahagian depan Madrid biarpun wang yang besar telah dilabur untuk mendapatkan Luka Jovic.
Untuk menghantar beliau keluar secara pinjaman adalah langkah yang dangkal daripada Madrid selepas menghabiskan bajet yang besar untuk membawa masuk beliau dan persoalan yang kekal bermain sekarang adalah ; adakah beliau berjaya menembusi skuad utama Zidane?
Jovic mengikat kontrak bersama Real Madrid selama enam tahun tetapi masih gagal menunjukkan prestasi yang sebenar.