Malaysia Berita

Luqman tak tinggal sembahyang

Penyerang skuad bawah 18 tahun (B-18) negara, Luqman Hakim Shamsuddin telah menunjukkan prestasi yang baik sepanjang mewakili skuad muda negara pada Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN B-18 2019 di Vietnam.

Beliau sedang menikmati masa terbaik persembahan beliau apabila membantu skuad negara membenam Australia, Kemboja dan Singapura.

Bagi Luqman, segala kejayaan yang datang tidaklah bergolek dan mudah serta apa yang lebih utama adalah beliau sentiasa ingat akan pesanan ibu bapa.

Bercakap kepada BH Sukan, Luqman menyatakan bahawa tiada apa-apa rahsia yang beliau amalkan cuma ingat pesan kedua ibu bapa yang mahu beliau sentiasa menjaga solat dan berdoa untuk kejayaan pasukan.

“Saya juga membaca tiga Qul setiap kali sebelum melangkah masuk ke padang dan itu memang apa diajar oleh ibu dan bapa yang sentiasa saya pegang dan amalkan sehingga hari ini,” Katanya.

Luqman adalah pemain daripada produk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan mula mencatat nama pada Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 dengan lima jaringan.