Malaysia Berita

FAM mohon maaf, tiada niat ‘claim’

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengeluarkan kenyataan maaf di atas kenyataan yang disiarkan di laman rasmi badan induk bola sepak Malaysia semalam setelah beberapa siri kejayaan yang dicipta oleh pemain skuad Bawah 15 tahun negara di Kejuaraan B-15 AFF di Chonburi, Thailand.

Presiden FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan bahawa bukan niat FAM untuk menidakkan usaha orang lain dalam membantu pembangunan bola sepak Malaysia tetapi kenyataan terbabit hanyalah berniat untuk menjelaskan bahawa pemain muda ini berada di landasan yang tepat.

“Apa yang cuba dimaksudkan dalam kenyataan itu sebenarnya adalah kejayaan tersebut serta prestasi baik skuad B-15 kebangsaan bermula dengan Kejohanan Jockey Club International Youth 2019 Di Hong Kong, April lalu.

“Seterusnya muncul juara CFA Team China International Youth Football Tournament Haikou 2019, bulan lalu dan disusuli aksi baik pada Kejuaraan B-15 AFF 2019 ketika ini menunjukkan yang mereka berada pada landasan yang betul dan seiring dengan apa yang cuba diterapkan dalam DNA Bola Sepak Malaysia itu.” Katanya.

https://www.facebook.com/FAMalaysiaOfficial/photos/a.522243597872409/2304927332937351/?type=3&theater

Untuk rekod, hampir keseluruhan barisan skuad B-15 yang sedang bersaing di Thailand  adalah hasil daripada produk keluaran Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang dilaksanakan secara bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), FAM dan Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi kerjasama baharu yang terjalin sejak Disember 2018.

Stuart turut menyatakan rasa gembira kerana daripada progam yang telah dijalankan tahun lalu, sudah mula terhasilnya benih-benih.

Justeru, beliau berharap tidak akan timbul lagi isu mengenai hal mengambil kredit atau ‘claim’ kerana kejayaan skuad negara adalah untuk semua kongsi.

“Saya berharap agar kita semua tidak terus berbalah mengenai hal mengambil kredit atau ‘claim’ ini.

“Sebaliknya marilah kita sama-sama memberikan sokongan padu dan mendoakan skuad B-15 kebangsaan terus mencatat kemenangan pada baki dua perlawanan Kumpulan B bertemu Laos esok dan tuan rumah, Thailand pada Isnin untuk kita layak ke separuh akhir dan seterusnya ke pentas final bagi menjuarai kejohanan ini.” Katanya.