Nasib yang baik tidak selalu menyebelahi kita apabila berpindah ke tempat baharu. Masalah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran dan juga budaya setempat antara sebab mengapa kita bergerak ke belakang dan bukannya ke hadapan. Dan itulah yang terjadi kepada pemain kelahiran Brazil, Philippe Countinho.
Ianya telah jelas kepada pemain tersebut apabila gagal menyerlah sejak membuat perpindahan keluar dari Liverpool bagi menyertai kelab gergasi Eropah, Barcelona. Beliau masih berjuang untuk mendapatkan rentak di Catalan dan tidak seperti di Anfield, beliau adalah pemain utama yang memainkan watak penting dibawah kendalian Brendan Rodgers dan Jurgen Klopp.
Walau bagaimanapun, terdapat banyak faktor yang telah memberi kesan kepada tahap kemunduran persembahan pemain ini di Sepanyol.
Dalam masa yang sama, terdapat banyak sebab yang kukuh kenapa Jurgen Klopp perlu membawa pemain ini pulang dan memberikan beliau peluang kedua untuk beraksi di Anfield.
Tidak dapat dinafikan bahawa niat Coutinho ke Barcelona adalah untuk memenangi trofi dan beliau telah melakukannya dalam dua musim beliau di Barcelona dengan memenangi lima trofi bersama kelab dari Catalan tersebut.
Tetapi sepanjang menjadi pemain bola sepak profesional, musim terbaik beliau adalah ketika mana bersama Liverpool. Dalam statistik yang dikeluarkan oleh Who Scored, pemain Brazil ini telah menjaringkan 13 gol dan membuat tujuh bantuan gol sewaktu musim terakhir beliau di Anfield. Di mana secara keseluruhan – Coutinho, Mane dan Firminho – barisan serangan Liverpool telah menjaringkan 78 gol pada musim 2016/17.
Jurgen Klopp berjaya menjadikan Liverpool sebagai salah sebuah pasukan yang ditakuti di Eropah. Dengan formasi serangan 4-3-3 serta permainan yang tinggi dan serangan yang laju telah berjaya menukar gaya permainan di Liga Perdana. Jurulatih dari Jerman seharusnya mendapat pujian, tetapi secara faktanya, pemainlah yang bertanggungjawab dalam menjadikan formasi itu berkesan.
Coutinho, Firmino dan Mane memainkan peranan penting dalam meletakkan Liverpool kembali ke Liga Juara-Juara pada musim tersebut. Di mana, ketiga-tiga mereka membantu dalam serangan dan bahagian tengah Liverpool. Statistik hantaran ketiga-tiga pemain ini juga telah menunjukkan betapa berkesannya Liverpool apabila ketiga-tiga mereka diletakkan di bahagian hadapan. Coutinho sahaja mempunyai 83.9% hantaran tepat dengan purata 2.1 hantaran penting dan 2.3 hantaran jauh.
Semusim selepas itu, beliau pergi meninggalkan Liverpool setelah menjaringkan tujuh gol dalam 13 perlawanan dan berjaya membuat enam bantuan gol. Mohammed Salah masuk menggantikan beliau.
Sejak bergerak ke Barcelona, beliau gagal memberi apa yang diharapkan di Nou Camp dan beliau terus gagal memberi aksi yang konsisten biarpun diletakkan bersama-sama Suarez dan Lionel Messi. Musim lalu, beliau hanya disenaraikan dalam 22 perlawanan dan berada di bangku simpanan pada 12 perlawanan serta hanya menjaringkan lima gol.
Tambahan daripada itu, purata hantaran penting beliau berada pada tahap 0.9 % manakala hantaran jauh dengan purata 0.2 bagi setiap perlawanan. Ini jelas bukanlah Philippe Coutinho yang peminat Barcelona mahukan.
Mungkin ramai yang menyatakan bahawa Liverpool tidak seharusnya membawa beliau pulang. Tetapi statistik jelas menunjukkan bahawa kualiti dan pemikiran kreatif yang beliau berikan di Anfield sejak bertahun-tahun lalu adalah sesutau yang tidak ada di dalam skuad Liverpool buat masa sekarang jika mereka mahukan gelaran Liga Perdana.
Beliau adalah pemain yang akan menambah kualiti serangan Liverpool bersama-sama dengan Mane, Firmino dan ‘King of Egypt’ Mohammed Salah.