Piala FA Malaysia Berita

Penyokong Perak dan Kedah bersatu untuk jayakan “Viking Clap”

Penyokong pasukan Perak dan Kedah menyambut baik usaha Malaysian Football League (MFL) untuk meletakkan barisan penyokong kedua-dua pasukan menjadi sebahagian daripada sejarah baharu bola sepak menerusi aktiviti “Viking Clap” yang akan terpahat dalam buku Malaysia Book of Records pada aksi final Shopee Piala FA 2019.

Menurut Setiausaha Kelab penyokong Gabungan The Bos Gaurus, TBG MOBS, Mohd Shirin Adenan, inisiatif tersebut dilihat mampu membakar semangat bukan sahaja kepada pasukan malah penyokong sendiri yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) untuk menyaksikan perlawanan akhir pada 27 Julai ini.

Jelasnya, semua penyokong perlulah bekerjasama dan melihat usaha ini ke arah yang lebih positif kerana ini merupakan kali pertama dalam sejarah bola sepak untuk berada dalam buku Malaysia Book of Records.

Mewakili penyokong pasukan Perak, Shirin percaya semua penyokong yang hadir nanti dapat memberi kerjasama sepenuhnya dalam merealisasikan usaha baik ini.

“Saya rasa ia satu usaha yang baik dan tepat pada waktunya ketika aksi final nanti di mana benda ini kita dapat lihat akan dipahat dalam Malaysia Book of Records.

“Tak salah untuk kita sokong sebenarnya sebab saya percaya sejarah baharu ini akan dilihat dan diambil perhatian oleh pihak luar juga.

“Bagi penyokong Perak, Viking Clap ni dah sebati dalam diri kami sebab memang selalu buat sebelum dan selepas perlawanan dan tiada masalah untuk kami bagi kerjasama nanti”, katanya.

Khairul Hakimi Ahmad selaku wakil dari Ultras Kedah 09 (UK09) pula beri jaminan penyokong skuad Helang Merah tiada masalah untuk bekerjasama dalam menjayakan misi ini kerana ia bakal menyerlahkan keharmonian antara penyokong kedua-dua pasukan.

Bahkan, aktiviti Viking Clap ini sudah menjadi satu tradisi kepada penyokong dan mereka akan memastikan visi untuk dipahatkan dalam Malaysia Book of Records akan terlaksana.

“Untuk kami, memang tiada masalah kerana ini sememangnya satu usaha yang baik untuk kita semua.

“Dekat Darul Aman atau aksi di tempat lawan, setiap penyokong memang dah sentiasa amalkan Viking Clap ini sebab kami nak bagi satu penghormatan kepada pemain-pemain dan untuk final nanti, tiada masalah untuk kita sama-sama buat,” katanya.