Malaysia Berita

Malaysia tetap dengan pendirian, mahu bida Piala Dunia 2034

Kerajaan akan tetap dengan pendirian mereka untuk membida hak penganjuran bersama Piala Dunia 2034 biarpun China juga dilaporkan akan mebida kejohanan terbesar dunia pada 2030.

Biarpun mengakui pelan penganjuran Piala Dunia 2034 akan terencat jika China dipilih sebagai tuan rumah Piala Dunia 2030, tetapi itu tidak akan mematahkan pendirian kerajaan, jelas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau juga turut memaklumkan kepada Arena Metro bahawa perbincangan isu hak penganjuran bersama Piala Dunia telah dibawa ke Mesyuarat Kabinet, malah telah mendapat sokongan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku penyokong tegar bola sepak.

Bercakap kepada media, Syed Saddiq menyatakan bahawa bidaan Piala Dunia 2034 akan tetap diteruskan kerana ianya telah dibentangkan pada mesyuarat ASEAN yang dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir.

“Cuma kita faham, jika China menang bidaan Piala Dunia 2030, maknanya kita perlu tunggu minimum 2038. Tapi kita akan cuba yang terbaik. Pada masa sama kita perlu berhubung dengan pihak China untuk mengetahui status hasrat mereka itu,” katanya.

Untuk rekod, China difahamkan masih belum menghantar permohonan rasmi bagi membida hak penganjuran Piala Dunia 2030.

Ahad lalu, Pengerusi ASEAN, Jen Prayuth Chan o-cha dipetik berkata, 10 negara anggota ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di Bangkok, bersetuju untuk membida sebagai tuan rumah Piala Dunia FIFA pada tahun 2034.