
Menjelang Kejohanan AFF B-18 di Vietnam pada 5 hingga 18 Ogos nanti, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) percaya skuad Harimau Muda mampu untuk mengalas cabaran selaku juara bertahan.
Biarpun diundi dalam Kumpulan B yang dilabel sebagai kumpulan maut bersama Thailand, Vietnam, Kemboja, Singapura dan Australia.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan yang dipetik di BH Sukan berkata jika skuad muda negara mahu mengetahui tahap mereka yang sebenar, mereka perlu berdepan dengan negara-negara yang lebih baik.
Beliau juga turut menyatakan tidak kisah dengan cabaran yang bakal digalas oleh Harimau Muda ini sambil menyuarakan keyakinan beliau terhadap kemampuan mereka.
“Memang ‘kumpulan maut’. Tetapi fokus FAM adalah untuk pastikan persiapan baik kepada pasukan. Jadi tidak perlu risau jika kita terpaksa jumpa pasukan kuat dalam peringkat kumpulan.
“Kalau diundi bersama pasukan lemah sekali pun dalam peringkat kumpulan, selepas itu kita terpaksa juga menentang pasukan kuat. Kalau mahu menang kejohanan ini, kita perlu hadapi pasukan ternama ini,” katanya.
“(Berdasarkan) persembahan sebelum ini dan persiapan yang akan kita lakukan, saya rasa prestasi pasukan mampu bawa pasukan mara lebih jauh.
“Saya hanya buat tugas pengurusan dan bukannya tentukan KPI jurulatih. Saya bukan datang daripada unit teknikal, jadi sasaran akan dibuat oleh Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan.”