Liga Super Malaysia Berita

Liga Super : Kedah ‘berpeluh’ jinakkan PKNS FC

Kedah memerlukan hampir 90 minit untuk menjinakkan PKNS FC di Stadium Shah Alam dengan kemenangan 3-2, malam tadi.

Pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak bermula cemerlang seawal minit ke-10 apabila kapten pasukan, Baddrol Bakhthiar menjaringkan gol pertama melalui sepakan sudut.

PKNS FC bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang diambil oleh Kpah Sherman pada separuh masa kedua sebelum Sherman sekali lagi meledak gol kedua buat PKNS FC pada minit ke-65.

Kedah walau bagaimanapun tidak berputus asa dan hasilnya mereka berjaya menyamakan kedudukan selang empat minit selepas itu menerusi rembatan jarak jauh Fayadh Zulkifli.

Gol kemenangan Kedah hadir  sewaktu permainan seakan berakhir seri pada waktu kecederaan menerusi Rizal Ghazali.

Kemenangan ini memberikan Kedah peluang untuk bertahan di tangga ke tiga Liga Super dengan 26 mata tetapi mungkin akan berlaku perubahan jika Selangor berjaya menundukkan Johor Darul Ta’zim malam ini.