Luar Negara Berita

Dalam masa 19 hari, €520 juta telah dibelanjakan oleh kelab dari La Liga

Perpindahan musim panas digunakan sebaik mungkin oleh kelab-kelab di seluruh Eropah demi untuk memantapkan pasukan. Dengan Real Madrid telah berjaya mendapatkan beberapa bintang besar bola sepak dan bakal diikuti oleh beberapa kelab gergasi Eropah dalam persedian musim hadapan yang kian mencabar.

Peluang ini diambil oleh kelab-kelab daripada Eropah untuk memperbaiki kelemahan yang ada di dalam skuad mereka.

Tetapi tahukah anda bahawa hingga kini, pasukan daripada La Liga terus memimpin perpindahan pemain musim ini dengan nilai perpindahan telah mencecah angka yang lebih tinggi daripada rekod yang dicatatkan pada 2017.

Pada tahun 2017, La Liga telah berbelanja sebanyak 557 juta euro untuk mendapatkan pemain bagi memantapkan pasukan masing-masing.

Tetapi untuk musim ini, 41 transaksi telah berlaku diantara kelab La Liga dengan nilai perbelanjaan yang dilaporkan oleh The Independent sudah mencecah 520 juta euro dalam masa 19 hari.

La Liga juga dikhabarkan bakal memecah rekod perpindahan tahun lalu iaitu € 934,270.000  yang telah dibelanjakan oleh mereka pada jendela perpindahan musim panas.

Dalam masa 19 hari jendela perpindahan dibuka, La Liga berada di tempat teratas dengan nilai perbelanjaan yang paling banyak, kedua Bundesliga dengan nilai perpindahan sebanyak 384 juta euro, diikuti oleh Serie A dengan 292 juta euro dan Liga Perdana dengan 196 juta euro.

Manakala Ligue 1, Perancis dan Liga Nos di Portugal masing-masing telah berbelanja dibawah 50 juta euro pada perpindahan kali ini.

Untuk rekod kelab pula, Real Madrid berbelanja paling kerap pada perpindahan kali ini dengan nilai perbelanjaan lebih banyak jika digabungkan dengan nilai perbelanjaan Liga Perdana, Ligue 1 dan Liga Nos.

Di tempat kedua pula diikuti oleh Barcelona dengan nilai perbelanjaan mencecah 87 juta euro dan diikuti oleh Sevilla dengan 40 juta euro. Manakala Real Betis di tempat keempat dengan 30 juta euro dan Real Sociedad dengan 11 juta euro.

Dalam laporan yang sama, Atletico Madrid dikhabarkan bakal menambah jumlah perbelanjaan bagi mendapatkan pemain baharu musim ini dengan kehadiran penyerang muda Portuga, Joao Felix yang bakal disahkan pada bila-bila masa sahaja.

Bagi pemain pula, Eden Hazard yang berpindah dari Chelsea ke Real Madrid memegang rekod tanda harga paling mahal dengan 100 juta euro sambil diikuti oleh Barcelona yang mendapatkan pemain muda Belanda, De Jong dari Ajax dengan 75 juta euro dan penyerang muda Real Madrid, Luka Jovic melengkapkan senarai tiga perpindahan paling mahal musim ini.