Selepas melihat beberapa perlawanan yang dramatik, bola sepak Eropah akhirnya telah sampai ke penghujungnya dengan Liverpool dan Tottenham bakal menentukan kejuaraan Liga Juara-Juara di pentas akhir Ahad pagi nanti.
Seteru dua kelab Inggeris ini tidak hanya akan berkisar di Liga Perdana sahaja tetapi akan menyebar luas ke seluruh Eropah dengan Stadium Wanda Metropolitano bakal menjadi saksi perebutan Liga Juara-Juara dari dua musuh Inggeris.
Ia juga adalah acara terbesar dalam jadual bola sepak dunia dan ini adalah lima perkara yang anda perlu tahu.
Adakah Harry Kane akan disenaraikan dalam kesebelasan utama?
Analisa kami sebelum ini menunjukkan bahawa Kane adalah pemain penting yang menjadi nadi kepada bahagian serangan Spurs. Beliau telah menjaringkan 125 gol dalam 178 penampilan bersama Spurs sejak 2009. Empat gol beliau di peringkat kumpulan adalah antara penyebab yang membawa Spurs ke pusingan kalah mati.
Tetapi selepas beliau dilanda kecederaan dan terpaksa diketepikan, Spurs seperti mampu hidup tanpa Kane apabila mempersembahkan permainan yang menarik dalam enam perlawanan di pusingan kalah mati. Kemenangan 3-0 ke atas Dortmund, dua perlawanan penuh dramatik – Manchester City dan Ajax Amsterdam – dengan kemenangan yang membawa mereka ke pentas akhir nyata memberi kesan positif selama ketiadaan Kane.
Situasi ini dilihat rumit apabila Lucas Moura dan Heung-Min Son dilihat mampu menggalas tugas selaku penyerang. Sama ada Kane sudah bersedia atau tidak, ia berbalik kepada Mauricio Pochettino, di mana beliau berkata segala keputusan perlu difikir lebih mendalam kerana beliau tahu setiap keputusan akan menentukan permainan.
Pertahanan adalah nadi penting buat Liverpool
Keupayaan Liverpool dalam menghasilkan gol tidak dapat dinafikan lagi apabila tiga serangkai – Mo Salah, Sadio Mane dan Firminho – jelas menjadi kilang pencetak gol buat Liverpool. Keupayaan mereka untuk menembusi bahagian pertahanan lawan ketika menentang Barcelona pada aksi di Anfield menjadi bukti bahawa mereka adalah yang terbaik setakat ini.
Tetapi tiada siapa yang mahu bercakap tentang bahagian pertahanan Liverpool yang bertindak sebagai pendinding dalam mempertahankan gawang daripada bolos. Trent Alexander-Arnold, di bahagian kanan dan Andrew Robertson, di bahagian kiri, kedua-dua pemain ini mempunyai ciri agresif dalam pertahanan dan bijak ketika mahu menyerang.
Ketika kemenangan penuh dramatik menentang Barcelona, kedua-dua pemain ini telah memainkan peranan penting. Robertson, pemain berusia 25 tahun telah mengunci pemain terbaik dunia Lionel Messi, sementara tindakan pantas Alexander-Arnold untuk gol kemenangan Liverpool sukar untuk dilupakan.
Peminat harus percaya.
Bagi Liverpool, selepas mencatat satu kekalahan musim ini dan mengumpul 97 mata serta berada di belakang Manchester City di tangga kedua dengan perbezaan satu mata, anak buah Jurgen Klopp masih boleh dimaafkan kerana nasib jelas tidak menyebelahi mereka.
Mereka juga telah sampai ke pentas akhir musim lalu, tetapi ditewaskan oleh Madrid akibat kesilapan penjaga gol Loris Karius.
Dalam pencapaian mereka musim ini, Liverpool mungkin merasa nasib berpihak kepada mereka apabila tidak ramai yang memberi harapan untuk mereka setelah tewas besar 0-3 ke atas Barcelona.
Manakala bagi Spurs pula, mereka sentiasa mempunyai momentum. Ia bukanlah musim yang mudah buat kelab daripada London ini – terpaksa bermain di stadium lain dan tidak mempunyai pemain baharu yang ditandatangani pada awal musim.
Walau bagaimanapun, mereka masih mampu menghabiskan musim ini ditangga ke empat liga dan melangkah ke pentas akhir Liga Juara-Juara musim ini. Ia seolah bonus dan mimpi jadi nyata.
Spurs hampir sahaja tersingkir daripada peringkat kumpulan, mujur keputusan seri di Nou Camp dan kegagalan Inter Milan mencatat kemenangan ke atas PSV Eidhoven membuka jalan buat Spurs untuk melangkah ke pusingan kalah mati dan menewaskan setiap pasukan yang menghalang jalan mereka untuk memenangi trofi.
Kedua-dua pasukan jelas menunjukkan satu karakter tidak pernah putus asa. Masing-masing percaya dengan kemampuan mereka untuk bangkit dan akhirnya kedua-dua pasukan berada selangkah lagi untuk memenangi kejuaraan besar dalam bola sepak Eropah.
Kelebihan berpihak kepada Liverpool
Spurs hanya memenangi satu daripada 14 perlawanan terakhir mereka menentang Liverpool. Musim ini, pasukan daripada London telah tewas dalam kedua-dua pertemuan dengan Liverpool. Walau bagaimanapun, Spurs berjaya menduduki tempat ketiga – Liverpool di belakang – musim lalu.
Jurgen Klopp sekali lagi membuktikan bahawa beliau adalah pakar motivasi musim ini. Liverpool terus bertahan mengejar Manchester City dalam kancah Liga Perdana Inggeris sehingga hari terakhir penentuan juara dan sekali lagi beliau menjadi watak penting dalam menewaskan Bayern Munich dan Barcelona dalam perjalanan ke final Liga Juara-Juara.
Bagi jurulatih kelahiran Argentina, Pochettino pula bertindak cemerlang dalam mengawal keseimbangan dalam pasukannya apabila gagal mendapatkan mana-mana pemain baharu musim ini.
Sudah tentu, lima tahun selepas beliau menyertai kelab ini, Pochettino mahu memenangi sesuatu dan melihat kerjayanya berada pada satu tahap yang berbeza.
Satu sejarah baharu akan tercatat.
Liverpool sedang membida untuk memenangi Liga Juara-Juara keenam dan yang pertama sejak malam yang sukar dilupakan di Istanbul pada tahun 2005.
Sekiranya Jurgen Klopp berjaya membawa kemenangan kepada Liverpool, mereka akan berada di satu tahap lebih tinggi mengatasi Bayern Muncih dan Barcelona dalam senarai pemenang, di belakang AC Milan (tujuh kemenangan) dan Real Madrid (13 kemenangan).
Spurs tidak pernah mencatat sebarang kejuaraan Eropah. Mereka hanya pernah memenangi Piala UEFA (sekarang Liga Europa) dua kali, pada tahun 1972 dan 1984. Tetapi untuk aksi Liga Juara-Juara ini merupakan penampilan pertama mereka di pentas akhir.
Pochettino semestinya mempunyai misi yang tinggi buat Spurs dan sudah tentu mereka mahu menjadi pasukan Inggeri keenam yang memenangi Liga Juara-Juara dan menyertai senarai pemenang – Liverpool, Manchester United, Nottingham Forest, Chelsea dan Aston Villa.