Luar Negara Berita

Qatar adakan rundingan mahu ambil alih Leeds United

Qatar Sports Investment, salah satu syarikat yang mempunyai kepentingan dengan juara Ligue 1, Paris Saint-Germain dikhabarkan bakal membida bagi membeli Leeds United.

Mereka dikhabarkan telah mengadakan satu perbincangan untuk membeli kelab Ingeris terbabit yang baru sahaja dinafikan tempat di Liga Perdana Inggeris pada aksi play-off baru-baru ini.

Menurut Financial Times, syarikat terbabit dalam perbincangan untuk membeli saham bagi membolehkan mereka mendapatkan kawalan penuh ke atas Leeds United dan seterusnya membawa kelab tersebut ke peringkat tertinggi bola sepak Inggeris.

Nasser Al-Khelaifi adalah antara wajah penting yang memimpin Qatar Sports Investment dan biarpun kedudukannya meragukan setelah terpalit dengan isu rasuah tetapi Qatar dilihat mahu mengembangkan portfolio bola sepak mereka.

Terdapat laporan lain yang menyatakan bahawa terdapat syarikat lain yang berminat untuk mengambil alih Leeds United, tetapi masih tiada keputusan rasmi.