Kolum

JDT dekati gelaran juara Liga Super, tetapi pasukan mana bakal tamatkan musim ini di tangga kedua?

Kelab bolasepak daripada selatan tanah air, Johor Darul Ta’zim sudah pasti bakal mengangkat piala Liga Super buat kali keenam berturut-turut selepas mudah meratah Kedah pada perlawanan di Larkin semalam.

Gol hasil jaringan Leandro Velazquez dan Safawi Rasid nyata memberi nafas lega buat pengendali JDT, Benjamin Mora yang berjaya mengetuai musim cemerlang JDT.

Berada di tangga pertama dengan 39 mata dan kekal dengan rekod tanpa kalah selepas mengharungi 15 perlawanan liga adalah mesej jelas bahawa JDT sukar digugat oleh mana-mana pasukan.

Mereka jauh meninggalkan Pahang di tangga kedua dan Kedah di tangga yang kedua berkongsi mata bersama-sama dengan Melaka United dan pasukan Selangor.

Sudah pasti cabaran untuk mengejar JDT yang selesa berada di tangga pertama bakal terkubur buat semua pasukan biarpun perlawanan liga masih berbaki tujuh perlawanan.

Apa yang boleh diharapkan oleh semua pasukan jika mereka mahu mengejar JDT adalah dengan menangi semua baki tujuh perlawanan dan mengharapkan JDT tewas dalam mana-mana tujuh perlawanan tersebut.

Tetapi ia seolah sukar untuk dilihat menjadi biarpun bolasepak sering saja dihidang dengan keajaiban.

Apa yang boleh dilakukan oleh semua pasukan adalah dengan menghabiskan musim ini ditempat kedua.

Terdapat tiga pasukan yang mampu untuk menamatkan musim ini ditangga kedua liga iaitu Pahang, Kedah, Melaka United dan Selangor.

Biarpun Pahang berada selesa di tempat kedua dengan perbezaan tiga mata berbanding Kedah, Melaka United dan Selangor, apa yang pasti pasukan Pahang berada pada tahap yang kurang konsisten.

Dalam tujuh perlawanan Liga Super, pasukan kendalian Dollah Salleh hanya berjaya mencatat dua kemenangan iaitu menentang pasukan PKNS FC dan Perak.

Pahang masih mampu untuk menjarakkan diri apabila masih mempunyai baki satu perlawanan yang ditunda minggu ini menentang Felda United.

Saingan untuk menuntut tempat kedua masih terbuka untuk Kedah, Melaka United dan Selangor, di mana ketiga-tiga pasukan ini sedang berkongsi mata dengan kelebihan masih berpihak kepada Kedah ditangga ketiga apabila hanya dibezakan dengan jaringan gol.

Terengganu FC yang berada di tangga keenam masih mampu untuk mendaki dan meletakkan diri mereka pada kelompok lima pasukan terbaik jika mereka meneruskan rentak kemenangan dan konsisten dalam permainan mereka.