PKNP FC bakal mencari import baharu bagi memperkuatkan lagi barisan pemain kelab terbabit.
Jelas Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim berkata kepada media bahawa import baharu ini amat diperlukan berikutan Thomas Abbey yang mengalami kecederaan retak tulang kaki.
“Abbey terpaksa keluar dari pasukan susulan kecederaan itu dan tempoh masa lapan minggu adalah jangka masa yang lama untuk PKNP.
“Cadangan saya, kita tidak boleh menunggu lama untuk saingan musim ini yang berbaki sembilan perlawanan lagi,” kata Abu Bakar pada sidang media selepas perlawanan Liga Super di sini, semalam.
Beliau juga berharap kehadiran pemain baharu dapat menyumbangkan mata kepada PKNP FC.
“Saya harapkan kehadiran pemain baru yang akan diumumkan minggu ini bagi menggantikan Abbey dapat menyumbang mata dalam saingan sekali gus melonjakkan prestasi kelab musim ini.
“Dalam aksi tadi (semalam), dari segi pengakhiran dan pengalaman, satu gol belum mencukupi namun kita memerlukan tenaga tambahan untuk tambah keyakinan pemain bagi mendapat sentuhan baru dalam perlawanan bertemu Selangor.
“Kita akan kehilangan Giancarlo kerana tiga kad kuning yang dilayangkan namun keperluan untuk dapatkan pemain baru sangat penting bagi mengimbangi pasukan,” katanya.