Kolum

Tiga pemain ini gagal menyerlah pada malam penuh kecewa di Anfield

Ditendang keluar pada malam penuh drama pada pertembungan di Anfield baru-baru ini sudah pastinya tidak mahu diingati oleh semua peminat dan pemain Barcelona.

Kebangkitan mengejut Liverpool di laman sendiri telah menampar realiti bahawa bola sepak selalu bersikap kejam tetapi itulah yang membuatkan semua orang mencintai sukan ini.

Siapa sangka Liverpool yang ketinggalan dengan jaringan besar pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Camp Nou mampu bangkit untuk membenam pasukan yang digeruni lawan, Barcelona dengan jaringan 4-0 tanpa balas.

(Photo by Clive Brunskill/Getty Images)

Ia memberi kita sebuah kenangan tentang kisah-kisah keajaiban yang telah Liverpool lakukan dalam aksi mereka di pentas utama Eropah dan perlu diingat, ini bukan kebangkitan pertama Liverpool.

Tetapi bagi pasukan seperti Barcelona, mereka hadir dengan harapan oleh semua orang bahawa satu kaki mereka sudah melangkah ke perlawanan akhir manakala satu kaki lagi sedang menunggu di Anfield. Tapi ternyata, perkara lain yang terjadi.

Gergasi Sepanyol tersebut dimalukan dengan jaringan besar di hadapan penyokong lawan dan ini memberi pengajaran kepada mereka bahawa permainan ini memerlukan fokus selama 90 minit.

Tiga pemain Barca bermimpi di siang hari

Barcelona adalah sebuah pasukan yang hebat dengan sejarah yang hebat. Untuk dimalukan dengan begitu teruk pada perlawanan separuh akhir adalah suatu perkara yang jarang berlaku.

Kesilapan yang dilakukan oleh Barca sehingga menyebabkan mereka terkeluar adalah lebih terarah kepada individu dan kegagalan mereka bekerja sebagai satu kolektif.

Hanya dua pemain yang berada di tahap sebenar – Arturo Vidal dan Lionel Messi – manakala pemain Barca yang lain seolah-olah hilang di tengah padang.

Tetapi tiga pemain ini paling mengecewakan pada malam penuh duka buat Barca – Philippe Coutinho, Jordi Alba dan Luis Suarez. Mereka adalah pemain yang diharapkan mampu memberi aksi yang baik tetapi nyata merekalah yang gagal beraksi dengan baik.

Pemain kelahiran Brazil, Coutinho menamatkan musim ini dengan aksi yang tidak konsisten dan gagal membantu pasukan biarpun telah menyertai Barca dengan bayaran tertinggi sehingga 160 juta euro setahun yang lalu.

(Photo by Shaun Botterill/Getty Images)

Coutinho gagal beraksi baik di Camp Nou sehingga diejek oleh para penyokong sendiri dan diharapkan dia akan bermain baik di Anfield, tetapi sekali lagi dia gagal menunjukkan aksi yang sebenar apabila melepaskan satu peluang terhidang yang mampu memberi kedudukan selesa buat Barca.

Lebih sedih lagi, bekas pemain tengah Liverpool itu gagal memenangi perebutan bola biarpun hanya terlibat dalam empat situasi perebutan bola, berbanding Fabinho yang memenangi tujuh daripada 13 perebutan bola.

Coutinho seolah-olah hilang, tidak bersemangat dan gagal untuk fokus.

Malah dia adalah pemain pertama yang dikeluarkan oleh Ernesto Valerde.

Manakala bekas penyerang Liverpool, Luis Suarez bukanlah ancaman besar seperti yang diharapkan oleh para penganalisis bola sepak, dengan hanya satu cubaan ke arah pintu gol berbanding dengan purata 3.3 setiap perlawanan musim ini, di mana dia telah merekodkan 18 perlawanan di tempat lawan tanpa sebarang gol.

Pemain ketiga yang paling mengecewakan adalah Jordi Alba apabila gagal bermain dengan konsisten seperti apa yang beliau tunjukkan di Camp Nou sebelum ini.

(Photo by Andrew Powell/Liverpool FC via Getty Images)

Pertahanan kiri Barcelona ini dilihat seperti tiada arah dan tidak fokus pada perlawanan tersebut.

Pada malam itu, Alba adalah punca terbesar buat Barcelona apabila beliau gagal mempertahankan posisi sehingga mudah ditembusi lawan sebanyak 21 kali dan kedua-dua gol Liverpool hadir daripada kegagalan Alba mempertahankan tempatnya.

Coutinho, Suarez dan Alba adalah tiga pemain yang menunjukkan persembahan terendah mereka ketika ditewaskan oleh Liverpool, sementara Ivan Rakitic, Sergio Busquets, Sergi Roberto, Gerard Pique dan Clement Lenglet jauh dari apa yang diharapkan oleh Valverde.

Pemain-pemain ini semua membayar harga dengan diketepikan daripada saingan Liga Juara-Juara