Malaysia Berita

Gerard Pique ajak Harimau Selatan ke Nou Camp

Selepas berjaya menewaskan juara bertahan, Kashima Antlers pada pertembungan Liga Juara-Juara Asia peringkat Kumpulan E di Stadium Larkin baru-baru ini, kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) menerima undangan khas untuk perlawanan amal.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi Johor Southern Tigers, JDT telah dijemput untuk menyertai satu perlawanan amal di stadium keramat Barcelona di Nou Camp.

Kenyataan terbabit turut menyebut bahawa JDT telah diundang oleh pertahanan tengah Barcelona, Gerard Pique yang merupakan bekas pemain Manchester United sebelum ini.

“Pemain pertahanan Barcelona, Gerard Pique telah menjemput DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan wakil dari Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menyertai perlawanan amal bersama pemain Barcelona dan ‘friends and family’ Barcelona di Nou Camp pada 21 Mei 2019.” Kata kenyataan terbabit.

Tidak dipastikan tujuan perlawanan amal ini diadakan, tetapi ia adalah peluang terbaik buat para pemain JDT untuk mempelajari sesuatu daripada kelab gergasi eropah, Barcelona.

Ia juga dilihat mampu untuk memberi suntikan semangat buat JDT yang memerlukan satu lagi kemenangan dalam saingan Kumpulan E, Liga Juara-Juara Asia bagi melayakkan diri ke pusingan 16.