Piala FA Malaysia Berita

Shopee Piala FA : PKNS FC mahu ambil semangat Liverpool

PKNS FC berdepan tugas sukar apabila perlu bangkit daripada kekalahan mengejut 3-1 ke atas Kedah sebelum ini pada saingan kedua suku akhir Piala FA di Stadium Darul Aman, malam esok.

Tetapi bagi pengurus pasukan PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid mahu barisan pemain Semut Merah menggunakan semangat kebangkitan yang ditunjukkan oleh para pemain Liverpool di malam kemenangan dengan Barcelona.

Bagi beliau, Semut Merah tidak boleh mengaku kalah terlebih dahulu kerana di dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku.

“Bermain di Alor Setar sudah pasti sukar disebabkan Kedah sememangnya menjadi pasukan pilihan apatah lagi dengan kelebihan gol yang dibawa mereka daripada aksi terdahulu.

“Pasukan sememangnya dalam keadaan bersemangat untuk menebus kekalahan tempoh hari dan kami yakin segala-galanya boleh berlaku dalam 90 minit perlawanan.

“Dengan melihat kebangkitan Liverpool pada aksi separuh akhir Liga Juara Juara bertemu Barcelona, ini sedikit sebanyak membakar lagi semangat pasukan namun semuanya tetap bergantung kepada pemain di atas padang.

“Kita sudah maklumkan kepada pemain supaya menguatkan mental dan percaya pada kemampuan diri sendiri,” katanya kepada BH Sukan.