Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan didesak untuk meletakkan jawatan berikutan beberapa siri buruk serta masalah kewangan yang menimpa persatuan terbabit.
Terbaru, Datuk Seri Amril Aiman Ab Aziz tampil menawarkan diri bagi mengambil alih tampuk kepimpinan KAFA dan beliau mempunyai sumber kewangan bagi mengukuhkan kembali pasukan Kelantan.
Bagi beliau, jika diberi peluang duduk dikerusi no. 1 KAFA, beliau akan menyelesaikan segala isu yang melanda pasukan terbabit.
“Penajaan yang bakal masuk untuk habiskan musim ini sekitar RM7 hingga RM8 juta. Insya-ALLAH musim depan jumlahnya akan bertambah sekitar RM15 hingga RM20 juta termasuklah untuk pembangunan bola sepak negeri serta infrastruktur di peringkat akar umbi.
“Untuk musim ini, saya akan perkukuhkan kedudukan kewangan pasukan terlebih dahulu. Manakala musim depan (2020) masa untuk kita capai sasaran kembali ke Liga Super 2021,” katanya.