Luar Negara Berita

Kami berjuang seperti singa! – Ten Hag

“Pencapaian yang menakjubkan. Kami berjuang seperti singa,”

Bagi pengendali Ajax Amsterdam, Erik ten Hag melabel pemain muda beliau yang garang dan dahaga seperti ‘singa’ apabila berjaya membawa pulang jaringan berharga pada aksi separuh akhir pertama ke atas Tottenham Hotspurs, 1-0 awal pagi tadi.

“Kami sudah berada di pertengahan jalan dan berada dalam keadaan yang baik. Semangat yang amat baik untuk disaksikan.”

Selepas menyingkirkan penyandang juara Real Madrid dan gergasi Itali, Juventus untuk mara ke aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara sejak 1997, Ajax sekali lagi menunjukkan mengapa skuad yang mereka miliki menjadi buruan kelab-kelab terbesar dunia.

“Saya fikir ia keputusan yang cemerlang untuk kami. Kami memenangi perlawanan. Kami berpuas hati. Kami memperoleh permulaan yang amat bagus, tetapi kami baru separuh jalan,” katanya.

“Kami boleh mengharungi perlawanan dengan gaya yang berbeza. Kami boleh bertahan dengan amat baik. Kami mempunyai pasukan yang bekerjasama dengan amat baik, mereka juga boleh berjuang dengan amat bagus.”

Bagi penjaring gol tunggal perlawanan, Van de Beek, 22, percaya perlawanan yang sukar akan ditempuh bagi aksi kedua di Stadium Johan Cruyff, minggu depan.

“Pada 30 minit pertama, kami bagus tetapi kami berdepan kesukaran selepas itu. Mereka melakukan perubahan dan kami berdepan kepayahan untuk menanganinya. Perlawanan pada babak kedua adalah pertarungan yang sebenar,” katanya.

“Perlawanan minggu depan di Arena pasti sukar, tetapi dengan sokongan peminat sendiri di belakang kami, ia pasti pemangkin semangat yang besar untuk mara ke final.”