Pengendali FELDA United mahu anak buahnya melupakan prestasi hambar dalam saingan Liga Super dan menumpukan sepenuh tumpuan kepada perlawanan menentang Kuala Lumpur pada aksi suku akhr pertama Piala FA yang akan berlangsung di Stadium Bolasepak KLFA, Cheras.
“Saingan dalam Piala FA adalah berbeza dengan saingan Liga Super, jadi saya minta semua pemain memberi tumpuan sepenuhnya kepada aksi malam esok dan kalau boleh, kita mahu menyekat kemaraan mereka (Kuala Lumpur) dalam saingan Piala FA musim ini,” kata Mohd Nidzam.
“Apabila sudah memasuki pusingan suku akhir, kita tidak ada pilihan lain selain daripada merekodkan kemenangan bagi memastikan FELDA United mempunyai bekalan selesa untuk aksi pusingan kedua (suku akhir) di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.”
Beliau juga mengesahkan bahawa dua pemain terpaksa diketepikan menjelang perlawanan pada malam ini.
“Setakat ini, saya dapat sahkan bahawa kapten pasukan, Hadin Azman dan Daniel Amier Norhisham tidak dapat bersama kita dalam aksi malam esok berikutan kecederaan yang masih belum pulih.
“Saya percaya, walaupun tanpa kehadiran dua tonggak utama ini, FELDA United masih berpeluang mencipta kejutan dan sebelum ini kita sudah buktikan ketika menewaskan Selangor 2-1 dalam saingan (pusingan) ketiga baru-baru ini,” katanya.