Liga Super Malaysia Berita

Zainal gembira, Aidil kecewa

Kemenangan ke atas Kedah pada Ahad lalu di halaman sendiri nyata memberi nafas lega kepada pengendali Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan.

Pemain yang sudah mendapat sentuhan penyudah serta disiplin tinggi yang dipamerkan oleh para pemain memberi kesan besar kepada kemenangan ke atas Kedah pada aksi Liga Super.

“Apa yang pasti semua pemain berdisiplin, terutama barisan pertahanan yang tidak lagi mudah dibolosi. Malah mereka bijak memintas lawan yang cuba memasuki kawasan gol pasukan.

“Walaupun terdapat sedikit kekurangan akibat memberi terlalu banyak sepakan percuma kepada skuad Helang Merah, namun mereka tidak leka untuk fokus mempertahankan kubu pasukan,” katanya kepada media.

Tambah Zainal lagi, gol yang dijaringkan oleh Anselmo Casagrande pada minit ke-49 diharapkan mampu untuk membantu pemain tersebut meningkatkan motivasi bagi aksi liga seterusnya.

Dalam masa yang sama, rakan sejawat Zainal, iaitu pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata kecederaan yang dialami oleh Mohd Zaquan Abd Razak telah memberi kesan kepada permainan pasukan.

Tetapi beliau yakin anak buahnya akan kembali bangkit pada perlawanan seterusnya.

“Apapun saya yakin anak buah akan kembali menyerlah berdepan Kuala Lumpur selepas ini,” katanya.