Malaysia Berita

MFL hukum tujuh pasukan gagal patuhi arahan

Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan tujuh pasukan Liga Malaysia dikenakan tindakan pemotongan sebanyak 50 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019 di atas kegagalan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan pada 31 Disember 2018.

Pasukan berkenaan adalah Kuala Lumpur, Felda United, Melaka yang beraksi dalam Liga Super dan Kelantan, PDRM, Sarawak, Pulau Pinang (Liga Premier).

Bagaimanapun lima daripada tujuh pasukan iaitu Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak turut dikenakan denda sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua bermula pada 2 Mei depan kerana mengulangi kesalahan sama seperti tahun lalu.

Lima pasukan ini termasuk Melaka juga diwajibkan untuk menyerahkan dokumen/pelan kepada MFL yang menunjukkan kestabilan kewangan pasukan, jumlah pendapatan pasukan bagi musim 2019 dan bukti serta dokumen yang menunjukkan semua tunggakan hutang telah diselesaikan dalam tempoh 30 hari daripada pengumuman ini dibuat iaitu pada atau sebelum 5 petang 22 Mei ini.

Sekiranya dokumen-dokumen tersebut masih tidak diserahkan dalam tempoh yang diberikan, pemotongan sebanyak 3 mata akan dikenakan kepada pasukan terbabit.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, keputusan mengenai hukuman itu telah diputuskan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL dan semua pasukan berhak membuat rayuan dalam tempoh 7 hari iaitu sehingga 5 petang 29 April ini.

“Untuk makluman semua kita telah memaklumkan kepada tujuh pasukan yang terlibat tentang keputusan yang telah dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL hari ini di mana daripada lima pasukan itu telah mengulangi kesalahan berulang bagi dua tahun berturut-turut manakala dua pasukan lagi melakukan kesalahan pertama.

“Bagi lima pasukan yang melakukan kesalahan berulang, mereka telah dikenakan hukuman tambahan iaitu larangan perpindahan pemain pada jendela perpindahan akan datang.

“Sementara itu pasukan-pasukan masih yang memiliki baki dokumen yang diperlukan untuk pendaftaran terutama berkait dengan kewangan, mereka diberikan masa selama 30 hari untuk kemaskini dokumen berkenaan.

“Mereka akan dikenakan hukuman pemotongan tiga mata jika gagal menyerahkan dokumen seperti yang dikehendaki dalam tempoh 30 hari tersebut,” katanya.

Daripada tujuh pasukan terbabit hanya Felda United telah menyerahkan semua dokumen diperlukan kepada MFL.

Kevin berkata, pemotongan 50 peratus daripada geran tahunan kekal sama seperti tahun lalu biarpun badan pentadbir itu masih belum mengumumkan penaja baharu untuk Liga Malaysia musim ini.

“Jumlah yang dikenakan pada tahun lepas adalah 50 peratus daripada geran tahunan diberikan pada 2018 dan pada 2019 pun (geran tahunan) akan diberikan di mana peratusan (nilai hukuman) tetap sama tak kira jumlah keseluruhan geran yang diberikan.

“Jika ada peningkatan atau kekurangan geran tahunan pada tahun ini, ia tetap akan dipotong 50 peratus dan itu adalah keputusan yang dilakukan pada tahun lepas di mana pemotongan 50 peratus.

“Cuma tahun lepas jumlah nilai denda diumumkan kerana jumlah geran tahunan telah diketahui dan sekarang ini kita umumkan daripada segi peratusan,” ujarnya.