Kolum Futsal

Futsal semakin berkembang di Malaysia – Chiew Chun Yong

Perkembangan futsal di negara kita berada ditahap yang memberangsangkan, kata ketua jurulatih skuad futsal negara, Chiew Chun Yong.

Sejak mengambil alih skuad kebangsaan sejak beberapa tahun yang lalu, Chun Yong berjaya membawa peningkatan dalam skuad futsal kebangsaan.

Kejayaan beliau membawa skuad futsal negara selaku pemenangan pingat perak temasya KL2017 serta naib juara Kejohanan AFF dan mara ke pusingan akhir Kejohanan AFC di Taiwan adalah antara kejayaan yang tidak boleh dilupakan oleh anak jati Pulau Pinang ini.

“Pada 2001 ketika saya mula-mula menyertai futsal, ramai yang ketawakan saya. Ramai yang mempersoalkan bahawa kebolehan saya sepatutnya digunakan untuk sukan bola sepak, bukannya futsal.

fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Tetapi apa yang saya nampak dalam permainan ini adalah kecantikannya yang tiada dalam acara bola sepak padang.

Chun Yong adalah bekas jurutera elektronik selama 12 tahun dan telah mengambil angin baru dengan menyertai sukan futsal secara semi pro ketika itu.

Beliau pernah mewakili  pasukan Pulau Pinang selaku pemain dan beberapa kali menyarung jersi pasukan kebangsaan sejak dari 2003 sehingga tahun 2007.

“Semua orang sedang mempelajari sistem futsal yang betul.

“Kalau dahulu, mungkin anda boleh bawa sistem sukan bola sepak padang ke dalam futsal. Tetapi sekarang berbeza, semua orang sedang mempelajari cara yang betul untuk memenangi perlawanan.”

Chun Yong turut berjaya membawa nama negara setaraf dengan jiran yang juga gergasi Asia, Thailand dan menduduki tangga ke-53 dunia dan ke-7 terbaik Asia

Beliau turut percaya bahawa sistem pendidikan yang berterusan mampu untuk melahirkan beberapa nama besar dalam sukan futsal.

Beliau juga turut meluahkan keyakinan bahawa futsal juga mampu untuk membantu bola sepak padang.

Astro Arena

“Di Asia, kita percaya bahawa futsal tidak mampu untuk membantu bola sepak padang.

“Tetapi di Amerika Selatan dan beberapa negara eropah yang lain, mereka percaya bahawa sukan futsal mampu untuk membantu perkembangan bola sepak padang.

“Bayangkan, membangunkan bakat muda bola sepak dengan sukan futsal adalah salah satu kunci untuk kita melahirkan pemain terbaik suatu hari nanti.

“Dan itulah apa yang saya harap akan berlaku suatu hari nanti” Katanya

Dalam perkembangan yang sama, beliau turut memuji langkah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjenamakan semula Liga Futsal Kebangsaan kepada Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL)

“Ini adalah satu langkah kehadapan oleh FAM dalam bergerak ke arah era profesional dan saya akui untuk bermula selalunya sukar.

“Tetapi dalam masa yang sama, saya percaya semua kelab dan persatuan negeri dapat belajar bagaimana menguruskan kelab dan menjaga pemain-pemain mereka.”

Pencapaian terbaik beliau selama memegang jawatan ketua jurulatih negara adalah tercalon sebagai jurulatih futsal terbaik dunia dalam Anugerah Umbro Futsal 2017.