Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Kevin Ramalingam menegaskan keputusan membenarkan pasukan tuan rumah untuk menjual tiket dengan kenaikan maksimum 20 peratus harga tambahan dari harga asal kepada penyokong pelawat adalah bertujuan untuk mengawal harga tiket daripada naik mendadak.
Beliau berkata, keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL itu dibuat demi menjaga kepentingan penyokong pelawat di mana pasukan tuan rumah tidak boleh meletakkan harga tiket melebihi harga yang ditetapkan.
Jelas Kevin lagi, kenaikan harga ini juga bertujuan menampung kos tambahan kepada pasukan tuan rumah yang perlu menyediakan kawalan keselamatan tambahan untuk penyokong pelawat selepas MFL menetapkan had minimum jumlah tiket yang perlu dijual pasukan tuan rumah kepada penyokong pelawat.
Bagaimanapun kenaikan harga tiket itu bergantung kepada pasukan tuan rumah sendiri sama ada melaksanakan atau mengekalkan harga asal tiket kepada penyokong pelawat.
“Apa yang ingin MFL jelaskan adalah MFL tidak membuat keputusan untuk menaikkan harga tiket tetapi sebenarnya lebih kepada mengawal harga tiket penyokong pelawat.
“Sebelum ini tiada ada apa-apa kawalan dikenakan terhadap harga tiket kepada penyokong pelawat di mana satu pasukan boleh meletakkan harga tiket dua kali ganda atau 200 peratus dan mana-mana pasukan berhak menentukan harga tiket mereka masing-masing.
“Jadi, bila kita mengenakan kawalan harga tiket dan mengenakan peraturan minimum tiket untuk diperuntukan kepada penyokong pelawat, kita tidak mahu mana-mana pasukan cuba mengambil kesempatan untuk menjual tiket itu jauh lebih tinggi daripada harga sekarang.
“MFL meletakkan tahap peratusan iaitu 20 peratus di mana satu pasukan itu tidak boleh menjual harga tiket penyokong pelawat lebih daripada 20 peratus berbanding dengan nilai harga tiket penyokong pasukan tuan rumah.
“Jadi kita berpendapat bahawa jumlah maksimum 20 peratus itu sudah memadai bagi memastikan pasukan tuan rumah rumah dapat membayar kos-kos yang berkaitan dengan kemasukan penyokong pasukan pelawat terutama aspek keselamatan,” katanya.
Terdahulu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL pada 15 Mac 2019 membenarkan kenaikan maksimum 20 peratus harga tiket penyokong pelawat selepas MFL menetapkan peraturan kepada pasukan tuan rumah untuk memperuntukkan sejumlah tiket minimum kepada penyokong pasukan pelawat.
Berdasarkan peraturan itu, pasukan tuan rumah wajib memperuntukkan minimum 300 keping tiket bagi stadium dengan kapasiti di bawah 20,000 tempat duduk, peruntukan minimum 500 keping tiket bagi stadium dengan kapasiti antara 20,000 sehingga 40,000 tempat duduk dan peruntukan minimum 1,000 keping tiket bagi stadium dengan kapasiti lebih dari 40,000 tempat duduk.
Dalam perkembangan sama, Kevin menegaskan keputusan ini dicapai selepas kajian terhadap penyokong pasukan pelawat yang sebelum ini tidak diberikan kouta secara spefisik apabila penjualan tiket kepada penyokong pasukan pelawat bergantung kepada budi bicara pasukan tuan rumah.
“Keputusan ini dibuat selepas timbulnya rungutan pasukan pelawat tidak dapat pergi ke stadium dan kadang-kadang kita melihat ada juga peruntukan jumlah tiket kepada penyokong pasukan pelawat berdasarkan budi bicara masing-masing sahaja dan bukan satu ketetapan.
“Jadi kita menganggap langkah untuk meletakkan jumlah minimum itu perlu tetapi maksimum kita tidak letakkan. Ia terpulang kepada pasukan tuan rumah itu jika mereka mahu bagi lebih daripada itu pun boleh tapi sekurang-kurangnya penyokong pasukan pelawat boleh merancang berdasarkan satu ketetapan minima berdasarkan kouta yang telah diberikan.
“Proses sebelum ini kebanyakannya penyokong pasukan pelawat memohon tiket kepada pasukan tuan rumah dan terpulang kepada mereka berapa jumlah tiket yang akan diberikan dan kita menganggap ia menyusahkan penyokong pelawat untuk membuat perancangan mereka.
“Jadi menerusi ketetapan minimum ini kita berasa bahawa perjalananan penyokong pasukan pelawat boleh dirancang dan ia akan menggalakkan lebih ramai penyokong memberi sokongan kepada pasukan masing-masing di tempat lawan,” ujarnya.