Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak yakin dengan sokongan yang hebat dan berterusan daripada penyokong Helang Merah bakal memberi tonik tambahan kepada pasukannya menjelang pertembungan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super, esok malam.
Sebelum ini, Kelab Penyokong Kedah telah melancarkan kempen ‘satu penyokong satu bendera’ bagi memberi motivasi tambahan kepada skuad Kedah pada pertemuan ketujuh Liga Super musim ini.
Justeru, Aidil berharap dengan sokongan daripada ‘pemain ke 12’ akan memberi impak positif kepada pasukannya dalam mencipta kejutan bertemu dengan juara Piala AFC 2015.
“Saya kagum melihat kelab penyokong Kedah yang menunjukkan usaha bersungguh-sungguh mereka. Saya harap ianya menjadi strategi bersama untuk memburu kejayaan yang dicari apabila berhadapan JDT dan perlawanan seterusnya.
“Pemain kini kelihatan bersemangat menanti perlawanan menentang JDT ini dan kita boleh lihat mereka berada dalam suasana ‘mood’ yang terbaik dan inilah yang kita perlu teruskan,” katanya
Beliau juga berharap pemainnya menggunakan kelebihan bermain di Stadium Darul Aman bagi mencipta kemenangan.
“Kita tidak akan beri laluan mudah untuk mereka dan juga mana-mana pasukan di sini. Justeru, saya mahu semua pemain terus fokus dan beraksi sebagai satu pasukan untuk memburu kemenangan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai kecederaan, Aidil menjelaskan hanya Azamuddin dan Syazwan Nordin yang masih belum pulih sepenuhnya.
“Saya berharap Azamuddin akan dapat bersama pasukan satu atau dua bulan lagi bagi memperkuatkan pasukan. Cuma pemain pertahanan import, Renan Alves sahaja yang masih menunggu keputusan beraksi. Saya berharap kita dapat menggunakan pemain terbaik dalam perlawanan bertemu JDT kali ini.” katanya kepada Berita Harian.