Kajian & Analisis

Kylian Mbappe dan kisah mesin pencetak wang

Kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain mempunyai dua tiang yang menyokong kelab ini – satu adalah Neymar dan satu lagi adalah Kylian Mbappe.

Kylian Mbappe, pemain berusia 20 tahun tiba di Parc des Princes dengan rekod perpindahan sebanyak €145 juta dan tambahan €35 juta, di mana menjadikan Mbappe sebagai pemain muda paling mahal dalam rekod perpindahan domestik dan dunia.

Mbappe juga telah menjadi idola kepada peminat bola sepak dunia dan telah membantu Perancis dalam memenangi Piala Dunia tahun lalu di Rusia.

Antara kelab yang mahu mendapatkan pemain Perancis ini adalah Real Madrid yang baharu sahaja melantik Zinedine Zidane sebagai pengurus baharu kelab dari Sepanyol terbabit.

(Photo by Robbie Jay Barratt – AMA/Getty Images)

Dengan Zidane dikatakan ingin merombak bahagian serangan Madrid selepas pemergian Cristiano Ronaldo pada jendela perpindahan musim panas lalu, Mbappe dilihat sebagai antara calon paling sesuai untuk mengambil tempat yang ditinggalkan Ronaldo.

Tetapi baru-baru ini, Real Madrid menyatakan bahawa mereka tidak akan mengemukakan sebarang tawaran kepada Mbappe pada musim ini dan bagi PSG, Mbappe adalah pemain yang tidak akan dijual walau dengan apa bayaran sekalipun.

Impak di padang dan luar padang

Keinginan PSG untuk menahan Mbappe daripada meninggalkan Parc des Princes bukan sahaja merangkumi persembahan baik beliau di atas padang, ia lebih daripada itu.

Penyerang Perancis dan rakan sepasukannya pemain kelahiran Brazil, Neymar mempunyai peranan yang sama seperti David Beckham sewaktu pemain England ini menyarung jersi Real Madrid. Mereka dilihat bukan sahaja sebagai pemain bola sepak tetapi adalah mesin mencetak wang.

(Photo by Anthony Dibon/Icon Sport via Getty Images)

Pendapatan mereka bukan sahaja merangkumi apa yang mereka persembahkan di atas padang, tetapi merangkumi iklan dan tajaan. Dengan kedua-dua pemain itu masih menyarung jersi PSG, ia akan meningkatkan nilai tajaan untuk mereka dan PSG.

Terbaru, kelab gergasi Perancis yang mempunyai nilai pasaran sebanyak €825 juta telah merekodkan perolehan sebanyak €60 juta dalam satu musim dan merupakan perolehan paling besar dalam sejarah bola sepak Perancis.

Lebih banyak lagi PSG harapkan

Dengan umurnya yang masih muda, PSG semestinya mengharapkan lebih banyak yang bakal ditawarkan olehnya untuk kelab tersebut pada musim hadapan.

Biarpun gagal memberi impak pada perlawanan menentang Manchester United sehingga mereka tersingkir pada saingan Liga Juara-Juara musim ini, Mbappe tetap memberikan impak yang besar melalui rekod persembahan beliau yang baik.

(Photo by Mehdi Taamallah/NurPhoto via Getty Images)

Presiden PSG, Nasser al Khelaifi jelas tidak akan menjual pemain ini kerana beliau percaya Mbappe dalam perjalanan menjadi pemain terbaik dunia dan tidak akan membenarkan pemain ini berhijrah ke mana-mana pasukan di sekitar Eropah.

Sementar semua orang mempersoalkan kesetian Mbappe kepada kelab Perancis tersebut, beliau dengan jelas menyatakan pendirian untuk kekal bersama PSG.

“Banyak orang yang meragukan [saya] tetapi saya akan terus mempercayai projek ini,” kata Mbappe. “Saya akan berada di sini, itu pasti.”