Liga Super Malaysia Berita

Aksi Pertama Liga Super Buat Aidil Tak Lena Tidur

Pasukan daripada utara Malaysia, Kedah bakal membuka aksi saingan Liga Super menentang PKNP FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung esok.

Aksi bertemu PKNP FC merupakan aksi pertama pengendali baru skuad Helang Merah, Aidil Shahrin Sahak yang hadir dengan misi membawa pulang tiga mata penuh.

Bercakap kepada Berita Harian, Aidil mengakui berdepan tugas sukar untuk memilih barisan kesebelasan utama beliau pada perlawanan pembukaan nanti.

Dengan beberapa pemain baru yang membarisi skuad Helang Merah, beliau mengakui merasa tertekan kerana bagi beliau semua pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk merebut tempat pada perlawanan esok.

“Sejak dua hari lalu saya bagaikan tak lena tidur bagi menentukan barisan 18 pemain Kedah yang akan saya pilih untuk menyertai perlawanan sulung ini dan saya akui ini satu tugas yang sukar.

“Pemain muda bersungguh-sungguh mempamerkan prestasi terbaik mereka supaya dipilih dan pada masa yang sama, pemain senior juga menunjukkan aksi terbaik mereka.

“Saya dan pemain begitu teruja dan bersemangat untuk memulakan aksi pada perlawanan pertama seterusnya menggalas cabaran misi memburu tiga mata.

“Ini ‘pening kepala’ yang positif dan saya yakin ia sebagai satu motivasi baik untuk saya dan pasukan dalam menempuh cabaran musim ini,” katanya.

Beliau juga mengakui, perlawanan ini bukanlah lawan mudah buat skuad Helang Merah.

“Ini bukan satu perlawanan mudah untuk Kedah yang hadir sebagai ‘underdog’ kerana PKNP FC sudah dikenali memiliki pemain muda yang berjiwa kental tambahan pula mereka beraksi di tempat sendiri dalam perlawanan pertama,” katanya.