Berita Asian Cup

Almoez Ali Tak Fikir Tentang Rekod, Mahu Menang Piala Asia

Qatar bakal turun dengan misi menang Piala Asia 2019 buat kali pertama dan Almoez Ali mengingatkan bahawa Jepun bukanlah lawan yang mudah.

Selepas membuat sejarah dengan menyamai rekod lama Ali Daei untuk gol terbanyak dalam Piala Asia 2019, penyerang Qatar, Almoez Ali mahu menumpukan sepenuh perhatian pada perlawanan akhir Jumaat nanti menentang Jepun.

Memetik kata-kata beliau kepada-AFC.com, penyerang muda Al Duhail itu menyatakan perasaan gembiranya tetapi bagi beliau, memenangi mahkota Asia adalah misi utama beliau.

“Saya tidak memikirkan mengenai rekod Ali Daei,” katanya. “Tidak, saya hanya meninggalkannya kepada nasib dan bersyukur saya dapat menjaringkan gol dan membawa kegembiraan kepada ibu bapa saya, rakyat Qatar dan rakan sepasukan saya.

“Inilah yang saya fikirkan, untuk menjaringkan gol untuk peminat dan saya melakukannya. Sekarang kita perlu memberi tumpuan kepada perlawanan seterusnya dan belajar tentang Jepun dengan baik.”

Beliau turut menambah bahawa menentang Jepun adalah objektif yang lebih utama.

“Sudah tentu, saya sangat gembira dengan gol tersebut,” katanya. “Ia adalah pada waktu yang cantik, tetapi ia tidak bermakna, kerana objektif kami lebih besar daripada hanya menjaringkan gol yang cantik.

“Saya perlu merendah diri dan bekerja supaya saya dapat mencapai matlamat saya.” katanya.