Menjelang pertemuan penting diantara Manchester United bertemu Arsenal, Jumaat nanti, Ole Gunner Solskjaer akan menggunakan pengalaman beliau untuk mengatur kemenangan kelapan United.
Solskjaer memainkan peranan penting sepanjang menyarung jersi Manchester United. Menjaringkan 91 gol di dalam 235 penampilan bersama United. Beliau juga adalah watak penting yang membawa United memenangi treble pada tahun 1999.
Beliau yang dilantik selaku pengurus sementara United telah membuat pihak pengurusan United pening kepala diantara mahu terus mengekalkan beliau atau melantik pengurus baru. Antara yang dikaitkan dengan United adalah Mauricio Pochettino, pengendali Tottenham Hotspurs.
Solkjaer dikatakan telah mengembalikan gaya permainan United apabila berjaya mencatat kemenangan ketujuh, Sabtu lalu ke atas Brighton.
Kebanyakkan bekas pemain yang bertukar kerja sebagai pengurus semestinya ingin membawa gaya permainan mereka sendiri. Malah ada sesetengah pengurus lari daripada gaya permainan sewaktu zaman mereka menjadi pemain.
Taktik yang digunakan mungkin dilihat lama dan akan hilang impaknya, tetapi tidak bagi Solskjaer.
Beliau perlu menggunakan pengalaman menentang Arsenal sepanjang menyarung jersi United untuk menaikkan semangat para pemain serta mencipta kemenangan kelapan pada kempen Piala FA, Jumaat ini.
Perlawanan menentang Arsenal selalu dianggap besar oleh mana-mana peminat United. Jika para pemain United menganggap perlawanan ini hanyalah seperti perlawanan biasa. Mereka perlu duduk dan mendengar Solskjaer bercerita bagaimana perlawanan ini memberi kesan yang besar sewaktu zaman beliau bermain.
Kedua-dua pasukan ini sentiasa berdepan dengan pergelutan apabila bersaing untuk mencapai kemenangan pada kemuncak lewat 90-an dan awal 2000-an, dan tidak ada cerita persahabatan tentangnya. Pertembungan Keane dan Viera di terowong Highbury sebelum perlawanan bermula, gelaran ‘Battle of the Buffet’ oleh media British pada tahun 2004 adalah antara detik yang panas buat kedua-dua belah pihak.
Solskjaer juga pernah disiku oleh pertahanan keras Arsenal, Sol Campbell yang menyaksikan Campbell dibuang padang. Kedua-dua pasukan ketika itu seri 2-2 di Highbury.
Pertahanan Arsenal bangkit mempertahankan tindakan beliau dan memutuskan untuk merayu kepada FA, tetapi FA tetap dengan keputusan mereka dan Campbell digantung tiga perlawanan musim itu.
Ia adalah beberapa episod panas yang menjadikan perlawanan bertemu Arsenal lebih menarik untuk diingat.
Terdapat tiga pertemuan Piala FA diantara kedua-dua pasukan sejak musim 2004/2005 dan sentiasa mengundang emosi kepada kedua-dua pasukan. Ia seolah-olah peminat United tidak perlu menunggu lama untuk melihat kedua-dua pasukan kegemaran mereka bertembung.
Solskjaer juga pernah ada ketika Ferguson melabelkan Arsenal sebagai ‘samseng’. Ferguson juga pernah berkata bahawa perangai pemain Arsenal adalah ‘perangai yang paling buruk pernah saya lihat didalam arena sukan’.
Sebelum perlawanan United menghadapi Arsenal yang disiarkan di dalam dokumentari Fergie v Wenger: The Feud, jurulatih Scotland itu memberitahu pemainnya ;
“Jangan cuba untuk membiarkan mereka membuli anda, saya tidak peduli jika anda melakukannya secara lisan atau secara fizikal, anda hanya perlu memastikan anda bersedia untuknya.”
Tetapi Ferguson sentiasa yakin pasukannya adalah yang terbaik. “Saya tidak fikir mereka mempunyai peluang menentang kami, saya tidak fikir mereka mempunyai peluang,” katanya dalam bilik persalinan.
Setelah Ferguson bersara, tiada lagi rasa bahang menjelang pertembungan diantara United lawan Arsenal.
Tetapi Solskjaer telah menunjukkan dia memahami kelab ini dan dia memahami peminat United. Dia tahu betapa pentingnya mengalahkan Arsenal dan dengan pengalamannya pasti akan membuatkan pertembungan ini kembali panas dan penuh emosi.