Kedua-dua pasukan Emiriah Arab Bersatu dan India tahu bahawa kemenangan pada hari ini akan meletakkan pasukan mereka hampir kepada peringkat kalah mati Piala Asia AFC 2019
UAE dijangka akan turun dengan ribuan penyokong yang bakal hadir memenuhi stadium setelah gagal untuk mencipta kemenangan setelah hanya mampu seri kepada Bahrain 1-1 pada perlawanan pembukaan Kumpulan A pada Sabtu lalu.
India pula memerlukan tiga mata penuh untuk menempah tempat ke Pusingan 16 setelah menang 4-1 ke atas Thailand pada perlawanan pertama tempoh hari.
Jurulatih UAE Alberto Zaccheroni menyifatkan misi pasukannya adalah untuk mencipta kemenangan bagi menghidupkan peluang ke pusingan seterusnya.
“Kami mengadakan pertemuan dengan para pemain selepas perlawanan dengan Bahrain dan membincangkan kekuatan dan kelemahan kami. Apa yang saya lihat dari para pemain telah membuat saya yakin bahawa mereka akan bermain dengan baik,” katanya.
“Ini adalah permainan kalah mati untuk kami dan kami akan memulakan perlawanan menentang India dengan niat untuk menang. Kami akan melakukan yang terbaik walaupun saya tahu kami akan menghadapi kesukaran.”
Kemenangan India ke atas Thailand, kata Zaccheroni, membuktikan betapa bola sepak Asia telah berkembang.
“Lapan tahun yang lalu, terdapat lapan pasukan Asia menduduki ranking 100 teratas. Kini, kami mempunyai 17 pasukan. Pusingan pembukaan Piala Asia AFC juga menunjukkan kepada kami bahawa tidak ada permainan yang mudah.
“India adalah pasukan yang sangat padat dan kami tahu mereka akan bermain dalam serangan balas. Mereka melakukannya dengan baik melawan Thailand dan saya pasti mereka akan melakukan perkasa yang sama apabila menghadapi kami.
“Bagaimanapun, saya dapat memberi jaminan bahawa akan ada banyak keghairahan dan keinginan untuk menang dalam pasukan saya, lebih daripada apa yang ditunjukkan dalam perlawanan menentang Bahrain,” katanya.
Keghairahan dan semangat untuk menang juga wujud dalam kem India setelah berjaya mencipta kemenangan pertama selepas 55 tahun setelah menewaskan Thailand minggu lalu.
Ia adalah kemenangan yang menggembirakan peminat India, dan jurulatih mereka, Stephen Constantine berkata pasukannya tidak sabar untuk menghadapi UAE.
“Ia akan menjadi satu pertarungan, pasti, UAE akan berupaya untuk menang tetapi kami akan melakukannya dengan baik. Kami berjaya melawan Thailand dan para pemain sangat bermotivasi untuk melakukan perkara yang sama sekali lagi,” jelas Constantine,
Constantine berkata untuk ke pusingan kalah mati adalah sesuatu yang sepatutnya dijangkakan oleh bola sepak India.
“Apabila saya diberitahu bahawa kami tidak memenangi selama 55 tahun di Piala Asia reaksi saya adalah tidak betul. Apabila saya mengambil alih sebagai jurulatih India pada tahun 2015, saya berkata kami perlu layak ke Piala Asia.
“Kini kami telah melakukannya dan sasaran kami seterusnya adalah perlu maju ke peringkat kalah mati.”