Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe Ke Perlis?

Nasib Tan Cheng Hoe bersama skuad kebangsaan hanya akan diputuskan Selasa ini melalui pengumuman rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Terbaru, timbul spekulasi yang mengatakan bahawa bekas pengendali Kedah ini berada di dalam senarai pendek Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) untuk mengisi jawatan sebagai pengarah bola sepak skuad Singa Utara.

Ketika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal membuat pengumuman rasmi mengenai masa depan Tan Cheng Hoe bersama Harimau Malaya Selasa ini, timbul pula spekulasi baharu berkenaan jurulatih itu.

Nama bekas pengendali Kedah itu dikatakan kini berada dalam radar Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) untuk mengisi jawatan sebagai pengarah bola sepak skuad Singa Utara, seperti yang dimuat naik di laman Facebook NorthernLions Perlis.

“Pengurusan PFA sedang mencari pengarah bola sepak yang baharu bagi membantu pasukan menghadapi Liga Perdana 2019,” kata kenyataan berkenaan.

“Beberapa nama disenarai pendek dan Tan Cheng Hoe juga berada dalam pemerhatian PFA kerana beliau kini adalah ejen bebas berikutan kontrak beliau yang masih belum disambung oleh FAM.”

Perkara ini dimuat naik di laman rasmi pasukan Singa Utara, NorthernLions Perlis berserta gambar Cheng Hoe dengan tajuk kenyataan “Pengarah Baharu Bolasepak Perlis?”. Situasi terbaru ini menghangatkan lagi status masa depan Tan Cheng Hoe bersama dengan skuad kebangsaan.

Bagaimanapun beberapa sumber telah mengesahkan bahawa Tan Cheng Hoe bakal kekal sebagai pengendali Harimau Malaya. Beliau juga akan diberi tawaran kontrak baharu dengan beberapa Penunjuk Prestasi Utama (KPI) yang lebih tinggi.