Liga Super Malaysia Berita

KFA Tidak Perlukan Khidmat Liridon

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Asmirul Anuar Aris dalam satu kenyataan menegaskan tidak akan mengambil balik khidmat bekas pemain import Lang Merah, Liridon Krasnigi.

Sebelum ini pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilaporkan bersedia memberi status pemain naturalisasi  sekaligus bakal menyarung jersi Harimau Malaya kepada Liridon. 

Beliau yang sudah beraksi selama empat musim bersama Kedah hanya memerlukan satu musim sahaja lagi untuk melayakkan beliau menjadi pemain naturalisasi kedua negara selepas Mohamadou Sumareh.

Memetik kata-kata Asmirul Amar di Berita Harian, KFA bertegas tidak akan menggunakan khidmat Liridon kerana ia akan melibatkan kos yang banyak.

“Kita sememangnya tidak menyambung kontrak bersama Liridon dan ia adalah keputusan muktamad.

“Ini kerana kita melihat daripada keadaan kewangan KFA yang mana kita tidak mahu pengurusan kos menjadi terlalu tinggi (jika mendapatkan khidmat Liridon).

“Kita lebih cenderung untuk fokus kepada pemain yang boleh bermain dengan baik dan tahap profesionalisme yang tinggi. Itu lebih penting,” katanya.