Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : 5 Perkara Yang Kita Belajar – Malaysia vs Vietnam

Malaysia bangkit untuk menyamakan kedudukan setelah ketinggalan dua gol pada separuh masa pertama. Terima kasih kepada jaringan Shahrul Saad pada separuh masa pertama dan gol Safawi Rasid hasil daripada sepakan percuma di luar kotak penalti.

Berikut adalah 5 perkara yang kita dapat lihat daripada persembahan kedua-dua pasukan ;

1. Keinginan Untuk Menang

Malaysia gagal memanfaatkan bermain dihalaman sendiri untuk mencari bekalan yang selesa. Pada permulaan permainan, para pemain Harimau Malaya dilihat seperti tidak fokus dan longlai. Mereka mudah membuat kesilapan dan membiarkan pemain Vietnam membuat hantaran-hantaran yang merbahaya. Sebaliknya yang berlaku buat skuad Golden Dragon yang menunjukkan semangat dan keinginan untuk menyelesaikan permainan ini apabila mereka menghukum Malaysia dua kali menerusi Nguyen Huy Hung dan Pham Duc Huy.

2. Pertahanan Yang Lemah

Pertahanan skuad Harimau Malaya dilihat lemah selepas ketiadaan Aidil Zafuan yang dilaporkan masih cedera selepas perlawanan dengan Thailand tempoh hari. Irfan Zakaria yang menggantikan tempat Aidil kurang memberi kesan yang baik. Beliau beberapa kali tewas perlawanan bola diudara sehingga memberi ruang kepada pemain Vietnam untuk menjaringkan gol. Malaysia bernasib baik kerana Farizal Marlias beraksi cemerlang menepis serangan satu lawan satu daripada pemain Vietnam. Selain daripada itu, ketiadaan Syahmi Safari yang dilayangkan kad merah pada perlawanan dengan Thailand yang lalu juga dapat dirasa.

3. Anak Muda Vietnam

Tak dapat disangkal lagi pemain muda Vietnam bermain dengan baik. Mereka menggunakan kelemahan bahagian pertahanan Malaysia apabila beberapa kali cuba masuk dan memberi asakan ke kubu Malaysia. Pemain skuad Tan Cheng Hoe kelihatan seperti tidak bersedia untuk menerima asakan mereka dan hasilnya skuad Golden Dragon berjaya mencari dua gol awal bagi membawa bekalan yang selesa pulang ke Hanoi. Anak muda skuad Park Hang-seo ini mempunyai mentaliti untuk menang. Mereka memulakan permainan dengan baik. Setiap pergerakkan mereka dilihat kemas dan mereka menunjukkan semangat untuk menang. Jadi tidak hairanlah mengapa skuad B-23 mereka berjaya menjadi naib juara Kejuaraan AFC B-23 di China awal tahun ini.

4. Semangat Tidak Putus Asa.

Walaupun ketinggalan dengan dua gol. Pujian harus diberi kepada para pemain. Anak buah Tan Cheng Hoe sedar akan kesilapan mereka dan pantas mencari gol untuk mengurangkan jurang jaringan pada separuh masa. Mujur Shahrul Saad berjaya mengambil peluang untuk menjaringkan gol pertama. Pada separuh masa kedua, Safawi Rasid berjaya menyamakan kedudukan dengan sepakan percuma yang cantik. Semangat tidak putus asa dan pantas memperbaiki kelemahan adalah sebab mengapa Malaysia bangkit setelah ketinggalan dua gol.

5. Suara Penyokong.

Selepas ketinggalan dua kosong, kedengaran nyanyian ‘Inilah Barisan Kita’ daripada lebih kurang 80,000 penyokong Harimau Malaya. Mereka tidak putus asa dan sentiasa berada di belakang pemain. Mereka menyanyi bagi memberi motivasi kepada pemain supaya tidak putus asa dan teruskan berjuang untuk 90 minit terakhir. Hasilnya, suara gegap gempita menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil setelah Safawi Rasid berjaya menyamakan kedudukan.