Jurulatih berpengalaman, B Sathianathan bakal mengurus kerusi panas pasukan The Red Giant musim hadapan kata sumber terdekat Sukan NSTP.
Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) masih belum membuat pengumuman rasmi mengenai berita ini, tetapi dikhabarkan FAS mahu bangkit daripada tidur lena selepas beberapa musim yang tidak membanggakan serta terpalit dengan beberapa isu yang mengganggu persiapan pasukan.
B. Sathianathan yang mempunyai pengalaman yang luas serta kredibiliti beliau dalam membawa FELDA United menjadi taruhan Selangor untuk mengembalikan zaman kegemilangan mereka bagi mencabar pasukan-pasukan lain musim hadapan.
“Sebelum ini kami menyenarai pendek beberapa jurulatih asing dan seorang jurulatih tempatan namun memandangkan liga akan bermula kurang dua bulan lagi, kami berpendapat jurulatih asing mungkin kurang arif dengan situasi liga di negara ini.
“Mungkin ini akan menyukarkan jurulatih untuk memilih pemain terbaik jadi sebab itulah kami berasakan jurulatih tempatan lebih baik untuk mengendalikan Selangor.
“Dengan pengalaman luasnya, kami berpendapat beliau boleh terus membuat kerja dan tidak perlu mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Kami juga yakin beliau dapat mengembalikan kegemilangan Selangor,” katanya kepada Sukan NSTP.
Nama Sathianathan tidak asing lagi dalam arena bolasepak tempatan apabila berjaya membawa dua pasukan naik ke saingan Liga Super.