Malaysia Berita

Nik Nazmi Tawar Diri Presiden KLFA

Minat mendalam serta sejarah yang kaya adalah antara sebab Nik Nazmi Nik Ahmad menawarkan diri untuk bertanding bagi merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Beliau menerusi kenyataan medianya menyatakan hasrat itu selepas melihat potensi KLFA dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) dan berhasrat untuk menjadikan KLFA sebagai sebuah persatuan yang profesional dan berintegriti.

“KLFA tidak perlu diperkenalkan lagi terutamanya menerusi kecemerlangan pasukan bola sepak utamanya dan pembangunan bakat muda,” kata Nik Nazmi kepada Berita Harian.

Nik Nazmi Nik Ahmad yang berumur 36 tahun yang memegang jawatan sebagai ahli parlimen Setiawangsa turut menyatakan keinginannya untuk membawa KLFA bersaing dalam kejuaran besar.

“Kuala Lumpur mencatat nama sebagai pasukan yang berjaya khususnya pada akhir 1980an, apabila menjuarai liga sebanyak dua kali, (tahun 1986 dan 1988), menjuarai Piala Malaysia tiga musim berturut-turut (1986-1988) dan johan Piala FA (1993, 1994 dan 1999).

“Kejayaan ini berkait rapat dengan pembangunan pelapis, di mana ramai bakat serta tunas yang dilahirkan dari kalangan anak-anak jati Kuala Lumpur sendiri. Maka, pembangunan pelapis seharusnya merangkumi projek pembangunan akar umbi yang holistik –  sains sukan, pendedahan kepada jurulatih muda serta para pegawai teknikal.

“Kita juga tidak boleh mengetepikan profesionalisme dengan penswastaan pasukan menerusi pelesenan kelab yang dituntut oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL). Pasukan profesional Kuala Lumpur wajib mampu berdikari dengan dana sendiri dan digerakkan secara berasingan daripada Pentadbiran Persatuan KLFA.”

Selain daripada itu, beliau menyatakan akan menjaga hubungan dengan para penyokong serta mendengar keluhan daripada mereka bagi mendapatkan maklum balas yang baik demi kebaikan kelab.

“Di rantau ini kita ada contoh Buriram United di Thailand yang lebih kurang seusia dengan KLFA tetapi ditadbir seperti kelab bola sepak negara maju dari sudut pencapaian atas padang, pengkomersialan, hubungan dengan penyokong dan pembangunan akar umbi.

“Saya yakin saya dapat memainkan peranan untuk KLFA menjadi penyumbang kepada kejayaan Peta Hala Tuju FAM 2019-2030 yang baru dilancarkan,” katanya kepada Berita Harian.