Malaysia Berita

Shahrul Tidak Mahu Terbuai Kejayaan Piala Malaysia, Mahu Fokus Dengan Tugas Kebangsaan

Shahrul Saad, pemain pertahanan Perak adalah antara 4 pemain Perak yang dipanggil untuk menyertai pasukan kebangsaan pada Piala AFF 2018 yang akan bermula 8 November depan.

Beliau yang baru sahaja memenangi Piala Malaysia bersama Perak tidak mahu dibuai dengan mimpi indah, sebaliknya mahu fokus dengan aksi antarabangsa bagi membantu skuad negara dalam merangkul trofi Piala AFF 2018, bulan hadapan.

Beliau yang sudah melapor diri ke kem kebangsaan semalam bersama-sama dengan Amirul Azhan Aznan, Nazirul Naim Che Hashim, Kenny Pallraj dan penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy sejurus tamat kempen Liga Malaysia (Liga M) bagi melengkapkan senarai 26 pemain yang dipanggil untuk perlawanan persabahatan bertemu Maldives di Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini.

Pemain berusia 25 tahun itu berkata kejayaan membawa pulang trofi Piala Malaysia ke bumi Seladang adalah pengalaman yang manis setelah kemarau 18 tahun tanpa trofi.

“Saya sangat gembira dapat membawa kembali Piala Malaysia ke bumi Perak kerana negeri ini sudah lama tidak merasakan kejayaan menjulang piala paling bersejarah bola sepak negara.

“Saya cukup berpuas hati dengan komitmen yang diberikan oleh rakan-rakan sepasukan khususnya apabila kami ketinggalan sebanyak dua kali dalam saingan yang cukup mendebarkan,” katanya kepada Kosmo!

Beliau yang dilantik sebagai penolong ketua pasukan Perak turut mengingatkan pemain-pemain Perak yang lain agar tidak terbuai dengan kejayaan malah harus fokus dengan tugas kebangsaan.

“Saya tidak mahu kejayaan ini membuatkan saya leka kerana saya telah terpilih untuk menjalani sesi latihan bersama skuad negara.

“Apa yang pasti, saya akan bekerja keras pada sesi latihan untuk menarik perhatian jurulatih (Cheng Hoe) kerana saingan kali ini cukup kompetitif,” katanya kepada Kosmo!