Piala Malaysia Berita

Mehmet Idam Piala Malaysia Bersama Perak

Mehmet Durokavic, jurulatih Perak berharap The Bos Gaurus mampu untuk menamatkan kemarau 18 tahun tanpa trofi menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Tambah beliau lagi, biarpun beliau sudah memenangi Piala Malaysia sebanyak tiga kali sebagai pemain, bagi beliau situasi kali ini berbeza.

Memetik kata-kata beliau kepada Berita Harian, “Tiga kali saya julang Piala Malaysia sebagai pemain iaitu pada 1995, 1996 dan 1997 dan kemudian sebagai jurulatih sekali tiga tahun lalu. Jika boleh kali ini saya mahu julang piala bersama Perak pula,” katanya, yang meraih kejayaan itu bersama Selangor.

Beliau turut menambah yang beliau bangga dengan kejayaan anak buahnya yang tidak berputus asa dan menyatakan bahawa mereka sememangnya layak ke pentas final setelah kali terakhir berbuat demikian pada tahun 2007.

“Saya bangga dengan kejayaan ini. Pemain berusaha gigih untuk menempah tiket ke perlawanan akhir. Memang mereka layak beraksi pada final kali ini. Selepas 11 tahun menanti, ini peluang Perak untuk tamatkan kemarau.

“Kali ini kami mahu menang. Malah kejayaan ini akan menjadi hadiah paling istimewa sempena Hari Keputeraan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tidak lama lagi,” katanya kepada Berita Harian.