Malaysia Berita

PFA Lantik Bekas Pemain Bimbing Singa Utara

Manzoor Azwiri Abd Wahid, bekas pemain pasukan Perlis diumumkan sebagai Ketua Jurulatih Perlis yang baharu bagi menghadapi musim hadapan.

Perkara itu diumumkan oleh Datuk Ahmad Amizal Shaifit Mohd Rafie, Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) sebelum menambah faktor pemilihan Manzoor Azwiri sebagai jurulatih Perlis yang baru adalah disebabkan rekod cemerlang beliau bersama MOF FC serta mempunyai misi yang selari dengan PFA.

“Selain pernah menyarung jersi Perlis, Manzoor adalah jurulatih yang cemerlang ketika bersama MOF FC apabila berjaya membawa pasukan itu ke peringkat separuh akhir Liga FAM.

“Malah, selain Perlis, Manzoor turut dilamar beberapa pasukan lain, namun atas faktor tertentu dia memilih untuk membimbing Perlis pada musim hadapan,” katanya kepada Berita Harian.

Pemain kelahiran Pulau Pinang ini pernah membantu pasukan Perlis menjuarai Piala Malaysia pada 2004 dengan menewaskan Kedah sebelum menjuarai kembali piala yang sama pada 2006.

Beliau yang membawa MOF FC kembali ke liga FAM nyata mencuri minat beberapa kelab tempatan sebelum memilih Perlis sebagai destinasi seterusnya.

Selain daripada itu, Ahmad Amizal berkata PFA akan membuka dua sesi pemilihan pemain iaitu pada 22 dan 29 Oktober ini.