Malaysia Berita

Final Piala AFF Suzuki Jadi Batu Penanda Buat Skuad Tan Cheng Hoe

Datuk Hamidin Mohd Amin, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata sasaran untuk pasukan Tan Cheng Hoe adalah sekurang-kurangnya layak ke Final Piala AFF Suzuki yang akan berlangsung bulan hadapan.

Walaupun prestasi skuad kebangsaan kurang meyakinkan, bagi beliau Tan Cheng Hoe layak untuk diberi ruang bagi memperbaiki beberapa kelemahan yang ada.

Memetik kata-kata beliau pada Berita Harian, “Saya sudah umumkan dulu lagi, sejak dipilih sebagai presiden, sasaran untuk Sukan SEA tahun depan dan Piala AFF adalah final, tapi bukan bila tak masuk saya akan pecat beliau (jurulatih). Kita ada analisa kita sendiri nanti,” kata Hamidin.

Beliau yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung FAM sebelum dilantik menjadi Presiden berkata skuad Tan Cheng Hoe menunjukkan peningkatan dari segi prestasi permainan tetapi mempunyai masalah dalam menterjemahkan peluang untuk menjaringkan gol.

Tambah beliau lagi, FAM akan menilai kembali skuad Tan Cheng Hoe pada perlawanan persahabatan terakhir bertemu Maldives pada 3 November nanti.

“Kadang-kadang dalam bola sepak kita sukar nak faham, pasukan Datuk Ong Kim Swee (skuad Bawah 23 tahun) kalahkan Korea Selatan di Jakarta dan kita hanya ada dua peluang tapi kita jaringkan dua gol untuk menang.

“Semalam kita ada 15 peluang untuk jaringkan gol tapi tak boleh, akhirnya kita kalah. Tapi kita tidak boleh sekadar lihat persembahan di dalam padang kerana keputusan juga mustahak.

“Kita tunggu perlawanan dengan Maldives dan Piala AFF, kita kena bagi ruang kepada Cheng Hoe.

“Dulu Nelo (Vingada) tak pernah menang dan sekarang (Cheng Hoe) ada empat menang tiga kalah dan satu seri, jadi ada peningkatan,” katanya kepada Berita Harian.