Mohamadou Sumareh, pemain naturalisasi pertama negara yang di panggil Tan Cheng Hoe ke latihan skuad kebangsaan mengakui pada mulanya beliau menganggap perkara itu sebagai gurauan.
Beliau yang berumur 27 tahun berkata, perasaan dia bercampur baur, terkejut dan tidak percaya apabila mendapat panggilan itu kerana dia menjangkakan rakan sepasukannya yang menghubunginya untuk bergurau dengannya.
“Pada mulanya saya ingatkan ia panggilan main-main tetapi rupa-rupanya Tan Cheng Hoe (jurulatih skuad kebangsaan) sendiri yang menghubungi saya,” kata pemain Pahang, Mohamadou Sumareh.
“Sebenarnya, saya sedang merancang percutian bersama rakan sepasukan, Patrick Cruz sebelum mendapat panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali.
“Saya menjawab panggilan dan pemanggil memperkenalkan diri sebagai jurulatih (Cheng Hoe) sebelum menyatakan dia mahu memanggil saya untuk kem latihan skuad kebangsaan.
“Saya ingatkan ia hanyalah gurauan namun selepas agak lama berbual, baru saya menyedari semuanya adalah benar. Jadi, saya gembira dan teruja kerana ini adalah satu perkembangan yang baik untuk karier saya.
“Panggilan untuk menjalani latihan skuad kebangsaan sememangnya tidak dijangkakan, jadi saya berterima kasih kepada jurulatih. Sudah tentu dia percaya saya mampu membantu menjadikan pasukan Malaysia lebih baik dan saya akan memberikan yang terbaik,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sumareh di jangka turun bertemu Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober dan Republik Kyrgyz di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 16 Oktober.
Selain daripada itu, Cheng Hoe turut memanggil enam muka baharu untuk mengisi senarai penuh 24 skuad kebangsaan.