Malaysia Berita

‘Terkejut’ Liridon Krasniqi sanggup meluahkan kecaman

Bekas ketua jurulatih Kedah, Nidzam Adha Yusof mengatakan bahawa beliau kecewa dengan keputusan Liridon Krasniqi untuk melontarkan kecaman di media sosial Instagram tempoh hari.

Pemain import yang berasal dari Kosovo itu mengecam bekas ketua jurulatih Nidzam Adha Yusof secara terbuka, sekaligus mencetus reaksi berbeza dari kalangan penyokong bolasepak Malaysia.

“Saya hairan beliau sanggup meluahkan kecaman sedemikian kepada saya sedangkan saya sentiasa menghormati corak permainannya sebelum ini dan sebagai jurulatih sebelum ini tiada pula timbul isu sebegini,” katanya kepada Arena Metro.

“Saya kesal dengan kenyataannya dan saya merasakan kecaman dilakukan ini tidak baik ke atas saya dan tidak mencerminkan sikap profesonalisma serta etika seorang pemain bola sepak tambahan ini melibatkan nama KFA dan Kedah.”

“Sebagai jurulatih saya sayangkan semua pemain dan saya telah berkorban mencurahkan sepenuh tenaga demi memastikan kejayaan Kedah sejak mula mengendalikan pasukan Piala Presiden Kedah pada 2012 dan selepas itu skuad Lang Merah bermula 2015 lagi,” tambah beliau.