Meskipun timbul tanda tanya mengenai masa depan MIFA ekoran masalah kewangan, ketua jurulatih, K Devan tetap percaya bahawa kelabnya akan terus bersaing dalam Liga Malaysia musim hadapan.
Kelabnya itu dikatakan sedang mengusahakan penajaan daripada satu syarikat dan sekirannya berjaya, ia akan membantu kelab untuk bertanding musim depan. Malah, beliau juga berkata MIFA akan mampu menampilkan pasukan yang lebih baik daripada musim ini jika mempunyai kemampuan kewangan.
“MIFA sekarang sedang mencari penaja dengan satu syarikat, kalau berjaya ia akan membantu kewangan pasukan dan sudah tentu kita akan bertanding musim depan. Tapi dalam apa juga keadaan saya rasa MIFA akan tetap ada musim depan.”
“Malah kalau kita ada kewangan yang baik, kita boleh turunkan pasukan lebih baik berbanding musim ini,” katanya.
Pasukan MIFA menjadi buah mulut penyokong bola sepak ekoran prestasi mereka yang memberangsangkan dalam saingan Piala Malaysia 2018 walaupun diletakkan bersama-sama pasukan gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah dan juga Kelantan.
Pencapaian mereka dalam saingan Liga Premier juga amat memuaskan apabila berjaya menduduki tempat ketiga bagi musim ini. Hal ini sedikit sebanyak mengecewakan mereka kerana MIFA begitu hampir untuk mendapatkan promosi ke saingan Liga Super 2019.
Mengulas berkenaan kekalahan 3-0 ditangan JDT tempoh hari, K Devan memberitahu ketiadaan pemain import mereka iaitu Kpah Sherman dan Elizeu Melo jelas merupakan faktor mereka tidak mampu menyaingi pihak lawan.
Malah beliau juga tidak berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan anak buahnya, walaupun mereka telah memberikan komitmen dan kesungguhan di atas padang. K Devan juga melahirkan rasa kekecewaan dan sekiranya mereka hanya kalah 2-0, MIFA masih lagi mampu mara ke peringkat suku akhir.
“Pemain kita kebanyakan kurang pengalaman jadi dengan adanya pemain import ia akan mengimbangi kekurangan ini. Tapi dua pemain import kita tidak bermain, jadi kita tak dapat nak tandingi JDT.
“Memang saya tidak puas hati dengan prestasi pemain walaupun mereka ada kesungguhan dan komitmen. Saya kecewa sedikit kalau kita hanya kalah 2-0 dan dengan keputusan di Kota Bharu, kita boleh layak,” katanya.