Masa depan bola sepak negara dilihat cukup cerah dan ke arah yang lebih baik selepas prestasi yang memberangsangkan sama ada di peringkat pasukan muda ataupun di peringkat senior.
Selepas Safawi Rasid menjadi pemain Malaysia paling menyinar di Sukan Asia 2018, kini Shahrel Fikri muncul sebagai penyerang yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai pemain utama dalam kesebelasan utama dalam perlawanan-perlawanan akan datang.
Menurut Azraai Khor Abdullah, beliau yang menyaksikan perlawanan Malaysia menentang Kemboja jelas dapat mengesan cara permainan Shahrel yang agak berbeza dengan rakan-rakannya yang lain.
“Inilah yang dikatakan skuad masa depan Malaysia yang mana pemain muda dilihat sudah mampu untuk mengisi tempat dalam skuad senior kebangsaan.
“Selepas adanya kelompok pemain dari skuad bawah 23 tahun (B-23) seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad, sekarang saya lihat Shahrel juga mampu memikul tanggungjawab di bahagian depan.
“Kemasukan Shahrel sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua jelas mengubah corak persembahan khususnya di jentera serangan apabila dia kerap melakukan larian serta bijak membuka ruang untuk memasuki kubu lawan.
“Saya kira ini hasil positif bermain di luar negara yang berjaya mematangkan permainannya selain menanam keyakinan tinggi dalam dirinya apabila turun beraksi dalam perlawanan antarabangsa,” katanya kepada Berita Harian.
Tambah Azraai, kombinasi Shahrel dan beberapa pemain muda lain berkemungkinan besar akan menghasilkan satu pasukan yang mantap.
“Saya lihat jika pemain muda ini dapat beraksi sebagai satu unit, tidak mustahil mereka akan beraksi dengan mantap pada Piala AFF nanti dengan dibantu beberapa pemain senior di tengah dan pertahanan,” katanya.