Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menganggap kelab bola sepak yang berpangkalan di London merupakan kelab yang paling ideal untuk dimiliki.
Katanya, strategi untuk melabur dalam kelab seperti AC Milan dianggap satu langkah yang kurang tepat memandangkan pasukan gergasi dari Itali itu mempunyai hutang sebanyak RM2.876 bilion.
“AC Milan sentiasa menjadi impian saya. Milan merupakan pasukan yang besar tetapi malangnya, mereka kini berhutang lebih 600 juta euro.
“Jadi itu bukan idea yang bagus. Pasukan yang ideal untuk dimiliki adalah kelab dari London,” katanya menerusi status akaun Twitter peribadinya.
Ketika ini, kelab gergasi London seperti Chelsea dimiliki oleh jutawan dari Rusia, Roman Abramovich manakala Arsenal dimiliki oleh Stan Kroenke dari Amerika Syarikat dan Tottenham pula dimiliki oleh Joe Lewis dan Daniel Levy menerusi ENIC Group.
Selain itu, West Ham, Fulham dan Crystal Palace juga merupakan tiga lagi pasukan yang berpangkalan di London dan bersaing dalam Liga Perdana Inggeris.
Menurut beberapa media di Italia, La Gazzetta dello Sport dan Il Giornale sebelum ini, Li Yonghong selaku pemilik AC Milan berhasrat untuk menjual sebahagian kecil sahamnya agar dapat melunaskan hutang kelab itu dan telah menemukan seseorang untuk menjadi pemegang saham minoriti.
Pelabur itu dikatakan akan membeli saham antara 20 hingga 49 peratus.
Meskipun identiti setiap pelabur yang berpotensi untuk membantu AC Milan dirahsiakan namun nama TMJ disebut-sebut dalam laporan akhbar di Itali.