Malaysia Berita

Dapat tajaan RM6 juta, pemain Terengganu City bersyukur nasib pasukan terbela

Pemain Terengganu City FC (TCFC) nyata gembira dan bersyukur selepas mendapat tajaan RM6 juta yang membolehkan mereka terus bersaing dalam Liga Perdana musim depan.

Ini seolah-olah sebagai hadiah buat pemain selepas bermati-matian beraksi musim ini sebelum bergelar juara Piala FAM.

Kapten pasukan, Muhamad Muslim Yusof, 24, adalah antara pemain yang paling gembira dan berterima kasih kepada pihak pengurusan yang menyelesaikan masalah gaji pasukan sehingga hampir mahu menarik diri akibat masalah kewangan.

“Saya lega dan berharap TCFC lebih maju dan berdaya saing di Liga Perdana. Kami tetap ada peluang merebut gelaran juara lagi,” katanya.

Bagi pemain terbaik perlawanan akhir Piala FAM, Mohd Khairul Ramadhan Mohd Zauwawi pula, berita itu sedikit sebanyak menghilangkan kebimbangan pemain terhadap nasib mereka pada musim akan datang.

“Saya semakin bersemangat mendengar perkhabaran itu. Syukur, tidak ramai pemain yang akan menganggur pada tahun depan, lebih-lebih lagi selepas kami bertungkus-lumus beraksi sebelum bergelar juara.

“Bagaimanapun saya harap pengurusan TCFC memaklumkan segera keputusan itu secara rasmi dan serta tidak mengulangi kesilapan lalu. Kami perlu berusaha memperbaiki kekurangan sebelum beraksi di Liga Perdana tahun depan,” katanya.