Tan Cheng Hoe enggan menyalahkan faktor cuaca dan padang yang basah serta keadaan yang becak ketika tumpas 2-0 kepada Taiwan, semalam.
Pasukan kebangsaan dilihat mengawal permainan dengan baik menerusi hantaran-hantaran pendek namun agak terjejas ekoran permukaan padang yang basah.
Hasilnya, Taiwan memperoleh gol pendahuluan pada minit ke-13 selepas Wu Chun Ching berjaya mengatasi perangkap ofsaid.
Beraksi di negara sendiri ternyata memberi kelebihan kepada pasukan tuan rumah apabila menambah gol kedua menerusi Chun En Le pada minit ke-53.
Namun, Cheng Hoe enggan menjadikan padang yang basah sebagai alasan.
“Saya tidak mahu menjadikan keadaan padang sebagai alasan tetapi kita dapat lihat ada beberapa aspek perlu diberikan perhatian sebelum aksi kedua nanti.
“Saya ada ubah sedikit cara permainan untuk disesuaikan dengan keadaan padang tetapi memang saya kecewa dengan keputusan ini.
“Apa pun saya harap pemain dapat beraksi dengan lebih baik selain dapat bermain mengikut situasi semasa seperti keadaan padang basah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai pertemuan menentang Kemboja pada Isnin ini, Cheng Hoe mahu semua pemain memberi tumpuan yang sepenuhnya kepada perlawanan kerana bimbang dengan kebangkitan Kemboja di bawah kendalian Keisuke Honda.
“Saya pasti akan berdepan tugas sukar untuk berdepan Kemboja memandangkan mereka mendapat suntikan motivasi daripada jurulatih baharu Keisuke Honda.
“Cuma saya harap mental semua pemain berada pada tahap terbaik untuk berdepan Kemboja nanti,” katanya.