Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan mereka belum menerima sebarang permohonan untuk menukar status pasukan liga kepada kelab pembangunan bagi saingan liga musim depan.
Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam menafikan dakwaan bahawa Selangor mahu menjadikan PKNS FC sebagai kelab pembangunan mereka dan PKNP FC akan dijadikan sebagai kelab pembangunan untuk Perak.
“Khabar angin itu tidak benar. Setakat ini tiada apa-apa makluman mengenai perkara ini. Jika ada permohonan, barulah MFL boleh mengambil tindakan yang selanjutnya.
“Jika benar ada permohonan yang dikemukakan, tidak semestinya ia boleh diluluskan serta-merta kerana masih ada proses dan kelayakan yang perlu dipenuhi.
“Namun, kalau ada permohonan sekali pun, ia tidak bermakna pasukan yang disingkirkan ke Liga Perdana akan kembali beraksi secara automatik dalam Liga Super,” katanya kepada Berita Harian.
Sebelum ini, ada khabar angin tersebar yang mengatakan dua pasukan Liga Super iaitu PKNS dan PKNP akan menyertai Liga Perdana dan perkara itu membolehkan Kelantan yang tersingkir kekal bersaing dalam Liga Super.
Ini kerana, jika status PKNS FC dan PKNP FC ditukar kepada kelab pembangunan, mereka tidak dibenarkan beraksi dalam satu saingan yang sama dengan pasukan utama sekali gus meninggalkan dua kekosongan dalam Liga Super musim hadapan.
Dua lagi kelab pembangunan dalam saingan Liga Perdana setakat ini adalah Terengganu FC II (TFCII) dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) yang diwujudkan untuk membantu Terengganu dan juara Liga Super, JDT.
Malah, berdasarkan peraturan yang ditetapkan, kelab pembangunan juga tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia.